Anda di sini

Komuniti nelayan kesal dap cuba sabotaj operasi buru pati di esszone

Advertisement

LAHAD DATU: Masyarakat nelayan di daerah ini kesal dengan tindak tanduk parti pembangkang DAP yang kelihatan cuba mensabotaj Operasi Bersepadu Khas memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Pengerusi Persatuan Nelayan Lahad Datu Eskin Ibrahim berkata, kenyataan beberapa pemimpin DAP yang mempersoalkan kewajaran operasi bersepadu adalah tidak wajar dan bermotifkan kepentingan politik.

Katanya, berdasarkan laporan media, DAP seakan-akan mahu operasi bersepadu itu dilonggarkan atau diberhentikan dengan alasan operasi itu dikatakan telah mengganggu dan menjejaskan ekonomi serta menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di ESSZone.

Beliau berkata, persatuan itu tidak merelakan mana-mana pihak termasuk DAP mensabotaj operasi

bersepadu yang ternyata berkesan mengurangkan aktiviti penyeludupan dan mengembalikan dominasi peniaga dan penjaja tempatan di pasar-pasar besar di ESSZone terutama di daerah Kudat, Sandakan, Lahad Datu,Kunak, Semporna dan Tawau.

“Sebelum RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai PATI di Sabah) ditubuhkan, DAP adalah antara

parti politik yang lantang meminta kerajaan melancarkan operasi membanteras PATI. Namun apabila operasi seumpama itu benar-benar dilaksanakan, DAP cuba mensabotaj dengan melemparkan pelbagai tuduhan yang melulu terhadap ESSCom.

“Komuniti nelayan Lahad Datu amat kesal dengan gelagat DAP ini apatah lagi ada dalam kalangan PATI ini yang menjadi tali barut penjenayah rentas sempadan.

“Apa yang kami lihat sendiri di daerah Lahad Datu, aktiviti yang terjejas ini hanyalah aktiviti penyeludupan dan perniagaan di mana majikan mengambil pekerja asing dan restoran yang kerap dikunjungi PATI (kekurangan pelanggan atau pembeli),” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Eskin merayu rakyat negeri ini supaya tidak menggadai dan menghianati kedaulatan negara semata-

mata kerana kepentingan peribadi, ekonomi dan politik.

“Soal keselamatan tidak seharusnya dipolitikkan. Kerajaan kita sudah berpuluh tahun menasihatkan rakyat, termasuk majikan supaya mengutamakan orang tempatan atau menggaji pekerja asing berdokumen dan tidak mengambil PATI sebagai pekerja mereka…undang-undang imigresen kita jelas tidak membenarkannya.

“Kami sedih apabila ada pihak yang persoalkan kewajaran operasi bersepadu dan penubuhan ESSCom. Kami masyarakat nelayan mengutamakan keselamatan dan bukan keuntungan perniagaan semata-mata dengan mengambil PATI dengan gaji yang murah.

“Sejak peristiwa berdarah di Tanduo (Lahad Datu), kami takut keluar menangkap ikan di laut tetapi selepas perintah berkurung dilaksanakan oleh ESSCom, keselamatan di perairan Lahad Datu berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Katanya, bot-bot marin dan APMM dapat dilihat di mana-mana di perairan Lahad Datu. Namun bukan mudah mengawal kawasan perairan ESSZone yang terlalu luas, ia memerlukan bot atau aset keselamatan yang banyak termasuk daerah Sandakan dan Kudat.

Oleh itu, Eskin berkata persatuan itu amat berharap kerajaan dapat mempercepatkan proses penghantaran bot-bot keselamatan ke kawasan berisiko bagi mengekang jenayah penculikan di ESSZone.

 

Advertisement