Anda di sini

Ayah buat laporan polis sekat anak keluar Malaysia

Advertisement
 Ali menunjukkan salinan laporan polis dan gambar anak lelakinya kepada pihak media.

CURIGA: Ali menunjukkan salinan laporan polis dan gambar anak lelakinya kepada pihak media.

TAWAU: Seorang ayah yang curiga dengan niat anaknya meminta salinan asal sijil lahir membuat laporan polis untuk menyekat anaknya keluar meninggalkan Malaysia.

Kontraktor Ali Pahapat, 51, berkata, anaknya Abd Jasrul, 20, adalah penuntut Universiti Selangor (Unisel) dalam jurusan diploma. (Ali lupa jenis kursus yang diambil anaknya).

“Saya membuat laporan polis kerana curiga dengan tujuannya meminta sijil lahir asalnya dan saya bimbang kerana ada kawannya beritahu saya dia mahu ke luar negara.

“Saya dimaklumkan Jasrul hendak pergi ke Korea dan ada juga yang cakap dia mahu pergi ke Jakarta,” katanya ketika ditemui di IPD Tawau di sini kelmarin.

Ali mengakui bimbang dengan perkembangan itu lebih-lebih lagi banyak khabar terkini mengaitkan anak muda menyertai gerakan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Beliau berharap anaknya tidak bertindak ‘sejauh itu’ (menyertai ISIS) sebaliknya berada dalam keadaan selamat dan tidak terjebak dengan anasir negatif.

“Kali terakhir kami berhubung pada April lepas semasa Jasrul meminta saya mengirimkan sijil lahir asalnya, namun saya menolak permintaannya,” katanya.

Tambahan pula katanya, Jasrul tidak mengemukakan alamat lengkapnya di Semenanjung dan tidak ada penama lengkap yang jelas untuk ditujukan.

Menurutnya, Jasrul pernah bekerja di Bank Simpanan Nasional di Semenanjung sebelum melanjutkan pengajian di Unisel dan sepatutnya kini memasuki semester ketiga.

Bagaimanapun, abang Jasrul, Abd Kasmin, 21, yang menghubungi Unisel dimaklumkan pihak universiti turut mencari Jasrul kerana sudah dua semester tidak melaporkan diri.

“Saya merayu Jasrul kembali ke pangkuan keluarga kerana kami semua merindui kehadirannya,” katanya sambil mengakui dia tidak mengetahui keberadaan anaknya.

Ali berkata, keluarganya sudah kerap menghubungi Jasrul dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini namun gagal dan anaknya juga tidak menghubungi mereka.

Menyentuh keadaan ibu Jasrul (Siti Rupitah Jailani) pula, beliau berkata isterinya sentiasa menangis siang dan malam setiap kali terkenangkan keadaan anak lelakinya di perantauan.

“Kami benar-benar berharap Jasrul dapat kembali ke kampung halaman di Kampung Bergusong Pulau Sebatik untuk menunaikan ibadah puasa dan Hari Raya tahun ini bersama-sama.

“Kami sedia menerima Jasrul seadanya dengan tangan terbuka walaupun jika dia sudah tidak mahu melanjutkan pengajiannya, yang penting kami bersama semula,” katanya.

Sehubungan itu, Jasrul ataupun orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi 0105059611 (Ali) atau 0108176717 (Rupitah) atau 01128917917 (Abd Naim).

 

 

Advertisement