Anda di sini

Penyenggaraan IPG tidak dilaksana sepenuhnya kerana kekangan peruntukan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengurusan penyenggaraan bangunan dan fasiliti Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya berikutan kekangan peruntukan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 2.

Menurut laporan itu, 27 IPG seluruh negara hanya menerima peruntukan RM68.84 juta antara tahun 2012 hingga 2014 di bawah peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan bangunan berbanding RM577.85 juta yang dimohon untuk tujuan itu.

“Semakan selanjutnya mendapati tiga IPG (daripada 27 IPG) yang telah memohon peruntukan penyelenggaraan bangunan dan pembaikan bangunan berjumlah RM48.94 juta bagi tempoh itu dan hanya RM8.19 juta telah diluluskan.

“Antara peruntukan yang dimohon adalah kerja penyelenggaraan bumbung, atap, siling, tandas, pendawaian elektrik, sistem kumbahan, tangki air, kuarters dan telefon yang sebahagiannya telah dimohon berulang kali dan masih belum diluluskan,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Sementara itu, maklum balas Kementerian Pendidikan berkenaan perkara itu yang diterima Jabatan Audit Negara pada 30 Mac lalu menyatakan peruntukan fizikal di bawah pembaikan bangunan sudah tidak diterima sejak tahun 2012 walaupun permohonan dibuat dalam Anggaran Belanjawan Mengurus setiap tahun.

Maklum balas itu menyatakan, Institut Pendidikan Guru Malaysia hanya menerima peruntukan di bawah peruntukan penyelenggaraan bangunan, pembaikan dan penyenggaraan hanya dapat dilaksanakan selepas peruntukan itu diagihkan pada awal tahun.

“Agihan peruntukan kepada 27 IPG berdasarkan laporan kerosakan yang dikemukakan mengikut keutamaan dan tahap kritikal sesuatu kerosakan yang berlaku,” katanya.

Selain kekangan peruntukan untuk penyenggaraan dan pembaikan bangunan, laporan itu turut menyatakan beberapa lagi kelemahan yang dikesan berkaitan pengurusan penyelenggaraan bangunan dan fasiliti IPG.

Antaranya termasuk jumlah aduan kerosakan tidak dapat dipastikan ketepatannya kerana terdapat borang aduan yang tidak diberi nombor sirinya dan daftar aduan tidak diselenggara.

Pengauditan yang dijalankan pada Oktober hingga Disember tahun lalu turut mendapati terdapat banyak kerosakan di IPG seperti siling atau atap pecah dan rosak, kebocoran atau resapan air, keretakan atau rekahan bangunan dan cerun bukit runtuh belum dibaiki.

Bagi mengatasi masalah yang dibangkitkan dan untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan penyenggaraan bangunan dan fasiliti, Jabatan Audit Negara mencadangkan beberapa syor untuk kementerian itu mengambil tindakan. — Bernama

Advertisement