KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti lebih daripada tiga dalang yang terlibat di sebalik sindiket pemerdagangan manusia yang dikesan di sempadan Malaysia-Thailand, Wang Kelian, Perlis baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kegiatan itu tidak mungkin dilakukan oleh seorang dalang.
“Selain daripada individu bernama ‘Yassin’ yang dipercayai terlibat, saya percaya ada individu lain yang terlibat sama. Kita syak lebih daripada tiga dalang, saya yakin ia lebih dari tiga dan kita akan memburu sehingga ke lubang cacing dan tidak akan dilepaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai status penangkapan individu bernama ‘Yassin’, selepas membuat lawatan kerja di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Ahmad Zahid berkata Yassin ketika ini dipercayai masih bersembunyi di Thailand.
“Sekiranya Yassin dapat ditangkap, kita akan bawa dia ke Malaysia untuk siasatan lanjut dan akan diambil tindakan undang-undang. Selain itu, kita akan mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Thailand untuk membawa pulang suspek, ini kerana suspek telah melarikan diri ke sana (Thailand),” katanya.
Pada akhir Mei lepas, negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan kadar jenayah jalanan di Kuala Lumpur telah menurun hampir 50 peratus manakala indeks jenayah pula menunjukkan penurunan lebih daripada 23 peratus.
Bagaimanapun, beliau ternyata sedikit kesal dengan persepsi masyarakat terhadap PDRM apabila kebanyakan mereka masih beranggapan bahawa prestasi PDRM masih belum meningkat.
“Trend ini tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi di negara maju yang lain dan ini termasuk kajian akhir yang saya lakukan bersama New York Police Department (NYPD). — Bernama