Anda di sini

Malaysia tawar program pemulihan bekas tahanan militan kepada Perancis

Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia sedia berkongsi pengalaman dengan Perancis mengenai program pemulihan khususnya membabitkan bekas tahanan kumpulan militan termasuk IS.

Tawaran itu dibuat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pertemuannya dengan Duta Besar Perancis di Malaysia Cristophe Penot yang mengunjungi beliau di pejabatnya di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata Malaysia mempunyai pengalaman daripada usaha memulihkan bekas anggota komunis di negara ini yang merupakan suatu pengalaman yang membezakan Malaysia dengan negara lain termasuk Perancis.

“Kita ada pengalaman pemulihan terhadap unsur-unsur komunis…apabila Undang-Undang Darurat 1948 dan kemudian Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 telah meletakkan suatu rancangan agar pemulihan dari segi idelogi dan akidah dilakukan.

“Ini agar mereka yang ditahan bila bebas akan kembali kepada masyarakat dan jalani kehidupan biasa tanpa melakukan kerja yang akan mempengaruhi orang lain,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan hampir sejam dengan Penot.

Menjelas lanjut mengenai pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata Perancis turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa mengambil langkah untuk melindungi warganya di negara ini.

Pada masa sama terdapat aduan mengenai pelancong asing termasuk dari Perancis yang menjadi sasaran jenayah jalanan, katanya.

Ahmad Zahid berkata PDRM memberi jaminan akan mengekang jenayah berkenaan termasuk mempertingkat kehadiran polis di 46 kawasan ‘hot spot’ seperti Bukit Bintang, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan ‘Petaling Street’ selain menambah Unit Rondaan Bermotosikal (URB) kepada 1,000 tahun ini.

“Seterusnya memasang kamera litar tertutup berdefinisi tinggi bagi mengesan pelaku jenayah jalanan khususnya ragut dan dapat dijadikan bukti di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Nor Rashid Ibrahim yang turut serta dalam pertemuan itu berkata PDRM meletakkan anggota di kawasan ‘hot spot’ setiap masa untuk melakukan rondaan selain menempatkan detektif. — Bernama

Advertisement