Anda di sini

JPJ bakal perkenal sistem e-Training dan e-Testing

Advertisement

KUALA NERUS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal memperkenalkan sistem baharu iaitu ‘e-Training’ dan ‘e-Testing’ di institut memandu tidak lama lagi.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata buat permulaan JPJ memilih lokasi di Lembah Klang sebagai projek perintis kepada sistem ini sebelum diperluaskan dan diguna pakai di tempat lain.

Katanya menerusi sistem yang diperkenalkan ini kaedah penilaian bukan lagi dibuat oleh para penguji dari anggota JPJ di atas kertas malahan keseluruhannya menggunakan sistem komputer sama ada lulus atau sebaliknya.

“Untuk projek perintis kita akan buat di Lembah Klang dalam masa terdekat dan jika berjaya kita akan laksana tidak lama lagi, kita tidak memaksa institut memandu untuk menggunakan sistem ini dan ia terbuka.

“Jika institut memandu itu berminat dengan sistem yang diperkenalkan ini kita akan memulakan perbincangan untuk memasang sistem di institut memandu mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis naik taraf litar memandu sebuah institut memandu di sini semalam.

Menurutnya inisitif yang bakal diperkenalkan ini juga mampu menjimatkan tenaga pekerja dari JPJ mahupun institut memandu itu sendiri.

Katanya langkah ini juga sekali gus dapat mengelakkan tohmahan serta isu untuk memiliki lesen memandu dengan mudah tanpa saluran yang betul dan dapat meningkatkan integriti.

Dalam perkembangan lain Ismail berkata pihaknya juga sedang berusaha meningkatkan profesionalisme dalam kalangan penguji daripada pegawai JPJ di setiap institut memandu. — Bernama

Advertisement