Anda di sini

Jemaah umrah meninggal dalam pesawat negatif MERS-CoV

Advertisement

PUTRAJAYA: Ujian sampel klinikal ke atas jenazah seorang warganegara Malaysia yang meninggal dunia semasa dalam penerbangan pulang ke tanah air dari Jeddah disahkan negatif Sindrom Pernafasan Timur Tengah Virus Korono (MERS-CoV), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata hasil siasatan yang dijalankan mendapati kematian adalah disebabkan oleh Penyakit Paru-Paru Obstruktif.

Dr Noor Hisham menjelaskan semasa mengerjakan umrah, pesakit berkenaan yang tidak didedahkan identitinya telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami batuk selain kesukaran bernafas.

Pesakit itu telah dirawat sebagai ‘Acute Exacerbation of Chronic Obstructive Airway Disease (COAD) with lung fibrosis’ dan dibenarkan pulang ke Malaysia dengan ditemani anak dan seorang jururawat, katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Jemaah umrah berusia 78 tahun itu meninggal dunia 11 Jun lalu semasa dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dengan menaiki pesawat Saudi Airlines dan jenazah dirujuk ke Hospital Serdang untuk siasatan lanjut.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan itu turut mengesahkan wanita yang didakwa lari dari Hospital Miri, Sarawak Jumaat lepas kini dirawat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Brunei Darussalam kerana jangkitan kuman pada paru-paru dan bukannya MERS-CoV.

Pesakit berkenaan yang mengalami demam, batuk dan sesak nafas dirujuk ke Hospital Miri pada 12 Jun lalu setelah mengambil kira sejarah beliau yang baru pulang daripada mengerjakan umrah.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Kebangsaan menerima 805 notifikasi kes disyaki MERS-CoV sejak Januari 2013 hingga kini.

Katanya daripada jumlah itu, 804 notifikasi disahkan bebas MERS-CoV, kecuali satu kes dilaporkan positif iaitu pada April 2014.

“Kementerian akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dan respons bagi mencegah penularan penyakit ke dalam negara dan dengan kerjasama padu semua pihak akan dapat membantu memperkukuhkan lagi pelaksanaannya,” katanya. — Bernama

Advertisement