SUNGAI PETANI: Tiga orang kurang upaya (OKU) semalam menerima Anugerah Khas Hari Bapa sempena sambutan Hari Bapa peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dataran Amanjaya Mall di sini.
Seorang mualaf, Mohd Hussin Oii Abdullah, 51, dari Kota Kuala Muda dekat sini yang cacat kedua-dua belah kakinya sejak lahir berkata, dia bersyukur dan gembira kerana buat pertama kalinya terpilih menerima anugerah itu.
Katanya walaupun dia dilahirkan dalam keadaan kurang sempurna namun berkat doa dan sokongan isterinya, Mazlina Mansor, 49, yang juga seorang OKU, dia membina kekuatan dalam diri untuk terus menjadi ketua keluarga dan mendidik enam anaknya hingga berjaya.
“Walaupun saya tidak berpendidikan tinggi dan hanya melakukan kerja-kerja kampung, namun saya cuba memberikan yang terbaik untuk anak-anak demi memastikan mereka berjaya dan menjadi insan berguna. Saya tidak menghantar anak saya mengikuti kelas tuisyen sebaliknya mengajar mereka sendiri di rumah.
“Bagi saya, dalam mendidik anak-anak, saya sentiasa mengamalkan sikap toleransi dengan mereka namun apabila menyentuh soal pendidikan, saya memang agak tegas,” katanya kepada Bernama, di sini.
Sementara itu, bapa tunggal, K. Konjoramah, 62, yang turut menerima anugerah itu berkata dia gembira namun terharu dan sayu kerana tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama mendiang isterinya, V. Lecthimee yang meninggal dunia enam tahun lalu.
“Jika isteri saya masih hidup, anugerah ini dapat saya kongsi bersama dia kerana sepanjang hayatnya, dia banyak membantu saya mendidik dua anak kami,” kata guru komputer itu.
Dalam pada itu, seorang lagi penerima Anugerah Khas Hari Bapa, A Hamid Dahri, 59, dari Pendang, berkata, dia tegas dalam mendidik dan mendisiplinkan anak-anaknya termasuklah sentiasa memeriksa kerja sekolah mereka. — Bernama