KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mula menggerakkan Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) ke Sabah bagi memantau keperluan sebenar masyarakat setempat yang terjejas akibat bencana gempa bumi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat berkata setakat ini seramai 10 orang Skuad TTB telah dihantar ke sana sebelum disusuli beberapa pasukan lain secara berperingkat bagi membantu mangsa-mangsa terlibat dalam pelbagai aspek.
Katanya selain itu, bantuan sebanyak RM200,000 turut disalurkan bagi membantu meringankan beban mangsa bencana termasuk keperluan asas, barangan makanan dan sebagainya.
“Bantuan ini akan disalurkan terus kepada mangsa terlibat dan pihak sukarelawan akan terlebih dahulu mengenal pasti keperluan semasa untuk mangsa-mangsa bencana itu. Mereka pastinya memerlukan pelbagai barangan asas, sesi kaunseling dan ubat-ubatan.
“Kami akan berhubung dengan beberapa pihak berkaitan, terutama pihak berkuasa di negeri itu bagi mengetahui lebih lanjut perkara yang diperlukan, selain memantau sendiri keadaan penduduk terutama pelajar berdekatan tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum bertolak ke Sabah bersama lima anggota TTB di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, semalam.
Menurutnya menerusi kumpulan pertama yang dihantar Jumaat lalu, pihaknya mendapati kebanyakan mangsa di lokasi kejadian masih mengalami trauma teruk dan mereka memerlukan sokongan serta kekuatan untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Beliau berkata pihaknya bersedia untuk menambah skuad TTB mengikut keperluan yang diperlukan di sana dan jumlah yang bakal dihantar untuk membantu akan ditentukan kemudian sebaik sahaja pasukan pemantau TTB selesai menjalankan misi mereka. — Bernama