Anda di sini

Rasional beri komen mengenai upacara ‘memujuk’

Advertisement

SANDAKAN: Setiausaha parti GERAKAN Sabah Chan Tzun Hei berkata, perbuatan tidak senonoh kumpulan pelancong di puncak Gunung Kinabalu bukan sahaja telah melakukan satu kesalahan di sisi undang-undang malah sesuatu yang biadap terhadap rakyat Sabah kerana tidak menghormati kesucian tempat itu.

“Seiring dengan ideologi parti GERAKAN sebagai parti pelbagai kaum, kita saling menghormati antara kaum,” kata Chan yang juga Timbalan Ketua Pemuda GERAKAN Sabah di sini kelmarin.

Katanya, Sabah merupakan sebuah negeri yang unik kerana mempunyai penduduk yang terdiri daripada lebih daripada 32 suku kaum dengan pelbagai kepercayaan, budaya dan adat resam.

Sehubungan itu katanya, pelancong-pelancong yang menjadi tetamu di Sabah haruslah menghormati budaya serta adat resam suku kaum di negeri ini.

Dalam perkembangan yang sama, Chan menasihati orang ramai untuk bertindak rasional apabila memberi komen terhadap pemimpin-pemimpin berhubung usaha mengadakan upacara untuk ‘memujuk’ semangat gunung yang dikatakan ‘marah’ ekoran insiden bogel berkenaan.

“Kita tidak boleh mengabaikan kepercayaan yang berlainan malah kena menghormatinya. Sejak manusia bertamadun, kepercayaan wujud hingga kini.

“Kita menganalisis gempa bumi yang berlaku di Ranau dari sudut sains tetapi kita juga hendak menghormati kepercayaan suku kaum Kadazandusun yang menganggap Gunung Kinabalu itu satu tempat yang suci,” katanya lagi.a

Advertisement