Anda di sini

Masalah PATI di ESSZone ‘terlalu kompleks’

Advertisement

Kehadiran PATI yang menjadi tali barut kepada penjenayah rentas sempadan sukar diatasi 

LAHAD DATU: Masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah terutama di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) ‘terlalu kompleks’ yang diwarisi sejak berpuluh tahun lepas, kata Pengarah Komponen Laut Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Laksamana Pertama Maritim M. Karunanithi.

Beliau berkata bagi menyelesaikan sepenuhnya masalah itu, tempoh satu atau dua tahun tidak memadai kerana memerlukan perancangan teliti dan penglibatan semua pihak secara holistik.

“Kehadiran PATI yang banyak ini merupakan ancaman besar kepada Sabah kerana ada dalam kalangan mereka jadi tali barut kepada penjenayah rentas sempadan, terutama penculikan.

“Susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai PATI (RCI) di Sabah, ESSCom dipertanggungjawab mengemudi operasi memburu PATI di ESSZone termasuk mengekang penculikan…namun bukan mudah untuk mensifarkan jenayah penculikan selagi ada musuh dalam selimut…masalah PATI perlu diselesaikan secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog program ESSCom bersama Komuniti Nelayan Lahad Datu di Pejabat Daerah Lahad Datu, di sini semalam. Turut hadir Pengerusi Persatuan Nelayan Lahad Datu Eskin Ibrahim dan Penolong Ketua Staf Perisikan ESSCom Supt Che Aris Bakar.

Mengenai penyeludupan, Karunanithi berkata sebahagian besar aktiviti itu dilakukan oleh PATI dan didalangi orang tempatan sendiri terutama membabitkan rokok, diesel dan gas bersubsidi.

Beliau berkata apabila operasi bersepadu dilancarkan awal tahun ini, ada pihak termasuk peniaga yang menggaji PATI mengadu perniagaan atau ekonomi mereka terjejas.

“Hanya ada satu undang-undang yang terpakai untuk semua orang termasuk rakyat tempatan, penyeludup dan PATI…patuhi undang-undang tersebut…janganlah marah kepada ESSCom dan biarlah ESSCom buat kerja, dan tunjukkan cinta kita kepada negara,” katanya.

Beliau berharap semua pihak termasuk pemimpin parti politik dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ESSCom dan tidak mempersoalkan kewajaran operasi bersepadu yang bertujuan membersihkan Sabah, khususnya ESSZone daripada PATI dan aktiviti penyeludupan. — Bernama

Advertisement