Anda di sini

KPWKM akan hantar ramai kaunselor ke Ranau

Advertisement

KUALA PENYU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menghantar lebih ramai kaunselor ke Ranau, Sabah bagi memenuhi permintaan mangsa gempa bumi yang masih dalam keadaan trauma.

Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, beliau dimaklumkan sehingga kini perkhidmatan kaunseling masih diperlukan berikutan terdapat keperluan bagi tujuan itu.

Jelasnya, terdapat kira-kira 5,000 agensi kaunselor bertauliah berdaftar di bawah kementeriannya yang sentiasa siap sedia dikerah untuk memberikan khidmat kepada masyarakat.

“Kita mempunyai ramai kaunselor bertauliah di bawah Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bersedia untuk turun padang bagi membantu mangsa trauma dalam apa jua situasi bencana alam di negara ini.

“Inisiatif ini juga merupakan salah satu daripada tindakan susulan daripada pihak kami kepada mangsa yang terjejas akibat musibah gempa yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di pekarangan Dewan Shahbandar Makang, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kanan Kementerian Kewangan, Syed Nasir Syed Ahmad, Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmund Teo dan Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Kuala Penyu, Raymond Jury.

Dalam pada itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kaunselor-kaunselor yang ditugaskan sejak minggu lalu itu telah memberikan khidmat kepada mangsa secara bergilir-gilir.

Katanya, kaunselor terlibat bertugas dalam kumpulan membabitkan 10 orang bagi setiap sesi kaunseling yang dilaksanakan secara bergilir-gilir sebaik sahaja Pusat Operasi Bencana dibuka di Ranau.

“Perkhidmatan ini berjalan lancar sehingga hari ini dan pihak kami akan menghantar lebih ramai kaunselor bagi memenuhi permintaan berikutan maklum balas positif yang diterima daripada mangsa trauma di kawasan terlibat,” katanya.

Tambah beliau, usaha itu akan diteruskan selagi perkhidmatan itu masih diperlukan.

Advertisement