Anda di sini

1,400 sertai Larian Bersama Bomba

Advertisement

MIRI: Acara amal Larian Bersama Bomba berlangsung di Marina ParkCity di sini semalam mendapat sambutan amat menggalakkan apabila seramai 1,400 peserta mengambil bahagian dalam enam kategori dipertandingkan.

Dianjur oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 6 dan disokong kelab tempatan, Bulatan Park Runners Club (BPRC), program itu berjaya mengutip sejumlah RM10,000 kemudian disalurkan kepada dua badan kebajikan iaitu Persatuan Diabetis Miri dan Persatuan Autistik Miri.

Larian itu berlangsung seawal jam 5.30 pagi dimulakan dengan acara senaman sebelum pelepasan peserta dilaku Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin turut disaksikan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohammad dan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 6, Suprintendan Law Poh Kiong.

Sementara itu, Nor Hisham dalam ucapan aluannya berkata larian amal itu pertama kali diilhamkan di Semenanjung Malaysia sempena penghormatan sambutan Hari Bomba Sedunia pada 4 Mei setiap tahun.

“Acara larian seperti ini semakin poplular di Semenanjung Malaysia dan juga berkembang aktif di sini.

Ini adalah masa paling tepat kami memperkenal acara ini di Miri,” katanya turut melahirkan gembira dengan sambutan amat menggalakkan.

Beliau memberitahu sebahagian yuran penyertaan larian itu juga turut digunakan untuk menubuh tabung khas di bawah kendalian Persatuan Sukan dan Kebajikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 6, manakala sebahagian lagi RM10,000 disalurkan untuk dua buah badan amal yang terpilih.

Tambahnya, sokongan padu warga Miri dan penyertaan amat menggalakkan luar Miri bukan sahaja untuk tujuan kecergasan tetapi turut beramal menyebabkan Bomba menjadikan acara tersebut sebagai acara tahunan di sini dan larian edisi kedua dijadualkan pada 25 Julai 2016.

Nor Hisham turut merakamkan terima kasih kepada penaja terdiri Samling Group, Naim Land Sdn Bhd, Shin Yang, Milagro Sdn Bhd, Beach Republic, Hotel Dynasty, Hotel Mega, Interhill, Hotel Telang Usan, Yaking Motor Workshop, Miri Housing Group, Share Tea, Revive, Plaza Yu Lan, Kiara Bumimas, Pana & Son’s, Julie’s, Eastwood Valley, MJM Plantation dan Green Summit.

Sementara itu, dalam kategori 8km lelaki terbuka, Dennis Chai Li Wei muncul juara selepas menamatkan larian dengan catatan masa 30 minit dan 11 saat diikuti naib juara, Wilson Jugan dan Wo Chuan Kiong di tempat ketiga.

Bagi kategori 8km wanita terbuka, juara Hii Yieng Nyuk diikuiti naib juara Rebecca James Juat dan Melissa Woo menamatkan cabaran di tempat ketiga.

Kategori 8km lelaki veteran menyaksikan Lee Kim Hing muncul juara, sambil naib juara Liew Joon Kien dan ketiga ialah Mohd Danan Unsang.

Kategori 8km wanita veteran, juara dimenangi Choo Ngiik Hung sambil naib juara ialah Cecelia Maksimon dan Lau Nguok Ting di tempat ketiga.

Sementara kategori 8km lelaki, Michael Wong muncul juara diikuti naib juara Eleazar Lejau Philip dan ketiga Chin Kho Kian sambil juara 8km wanita jatuh kepada Yee Chee Jia, naib juara Law Yee Rou dan Chin Wen Wen di tempat ketiga.

Kategori 3.5km lelaki junior, juara Mohd Amirul Aslan sambil naib juara Derick Sim Beng dan tempat ketiga Maxemus Jain Michol manakala juara 3.5km wanita junior dimenangi Rachelle Rafaella, naib juara Ivy Ning dan tempat ketiga Hoo Jia Hui.

 

Advertisement