Anda di sini

Gempa bumi sederhana 5.1 pada skala Richter melanda Ranau

Advertisement

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah pada jam 2.29 pagi semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan semalam berkata pusat gempa bumi itu terletak 6.2 darjah utara dan 116.5 darjah timur, kira-kira 25 kilometer tenggara Kota Belud, Sabah.

Gegaran turut dirasai di Ranau, Kudat, Beluran, Kota Marudu, Kota Belud, Keningau dan Kinabatangan, kata kenyataan itu.

Jabatan Meteorologi berkata pihaknya sedang memantau perkembangan itu dan akan memaklumkan maklumat terkini.

Di SABAH, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Farhan Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata setakat ini berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan kerosakan atau kecederaan disebabkan kejadian gempa bumi itu.

Sementara itu, pegawai perhubungan awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata pihaknya menerima 14 panggilan telefon daripada orang ramai yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata setakat ini belum ada laporan kerosakan atau kecederaan yang diterima.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui di Ranau mengakui merasa gegaran pada awal pagi semalam dan ada yang bergegas keluar dari rumah ke kawasan lebih selamat.

Pembantu Pengurus Restoran Cottage Hotel, Juari Amin, 53, berkata beliau terkejut dengan kejadian itu dan berasakan gegaran susulan sekuat 5.1 pada skala Richter itu bukan sesuatu yang normal baginya.

Penyambut tetamu di hotel itu, Mohd Rizua Matree, 26, pula berkata gegaran susulan pada awal pagi semalam agak kuat dan berlaku dalam beberapa saat sahaja berbanding gegaran susulan sebelum ini.

Seorang pengusaha restoran di Taman Air Panas Poring, Ranau, Mohamad Abdullah berkata beliau merasai dua gegaran pada awal pagi semalam dan terus membawa isteri serta anak lelakinya segera keluar dari rumah.

Beliau berkata gempa bumi itu menyebabkan rumah dan restorannya bergegar serta pinggan mangkuk jatuh ke lantai dan ada yang pecah.

Katanya, penduduk di sekitar kawasan itu masih bimbang dengan kesan bencana yang melanda 5 Jun lepas dan berdoa agar tidak ada kejadian yang tidak diingini berulang.

Sementara itu, seorang malim gunung, Azli Donald berkata beliau, isteri dan anak-anaknya terjaga dari tidur selepas merasai gegaran pertama, diikuti gegaran kedua awal pagi semalam.

Azli yang tinggal di Kundasang berkata berikutan gegaran itu beliau turut mendengar bunyi kuat berkemungkinan daripada batu-batuan yang jatuh dari kawasan pergunungan.

“Saya sekeluarga lari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi malim gunung, Christopher Peter Ebi yang menetap di Bundu Tuhan dan terlibat dalam kerja menyelamat pendaki terkandas di Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi 5 Jun lepas berkata beliau turut merasai gegaran dua kali.

“Saya tidak dapat tidur sehingga ke pagi selepas merasai gegaran itu. Begitu juga dengan anak saya kerana ketakutan,” katanya. — Bernama

Advertisement