Anda di sini

Pesta Magahau tonjol identiti kaum Rungus di Kudat

Advertisement

KOTA KINABALU: Pesta Magahau Rungus buat pertama kalinya akan disambut secara besar-besaran di Padang Kampung Tinangol Matunggung, Kudat pada 13 Jun (hari ini).

Sambutan pesta berkenaan akan dijalankan sehingga acara kemuncaknya pada 27 Julai depan.

Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora) Dato’ Jelani Hamdan berkata, pesta itu disambut selaras dengan pengiktirafan suku kaum Rungus sebagai etnik penuh oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini.

“Pesta Magahau 2015 akan menjadi perayaan terbesar berikutan kerajaan turut mengiktiraf perayaan ini sebagai perayaan rasmi kaum Rungus bermula tahun ini.

“Ia disenaraikan sebagai perayaan yang diraikan di Sabah dalam Kalendar Pelancongan Sabah 2015 oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB),” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Menurut Jelani, Magahau diadakan bermula sejak 2009 yang menyaksikan 10,000 pengunjung hadir ke pesta bekenaan di Matunggong bermodalkan perbelanjaan sendiri.

Berikutan daripada itu katanya, pesta itu seterusnya dilaksanakan di Kanibongan, Pitas pada 2010 atas permintaan ramai.

Beliau berkata, Samora dan seluruh masyarakat Rungus amat menghargai pengiktirafan berkenaan.

“Pada awalnya, etnik Rungus adalah subetnik bagi suku kaum Kadazandusun Murut tetapi sekarang ia diiktiraf menjadi etnik penuh.

“Usaha ini dilakukan kerana masyarakat Rungus juga menginginkan etnik mereka mampu membangun seperti etnik lain dan memiliki identiti sendiri menerusi pengenalan pesta ini,” jelasnya.

Sementara itu, Jelani berkata pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan sepanjang pesta berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan pengisian program menitikberatkan kehidupan tradisional etnik Rungus selaras objektif penganjuran pesta iaitu memelihara tradisi kaum berkenaan.

“Antaranya adalah Minggu Fesyen Pakaian Rungus yang terdiri dari dua bentuk rekaan iaitu tradisional dan moden.

“Kita juga adakan Pertandingan Sukan Tradisi Rungus (Hontira), pertandingan cipta lagu bahasa Rungus moden dan tradisional (Mongondi), kraf tangan, persembahan artis Rungus, dan banyak lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pertandingan serupa seperti ‘Unduk Ngadau’ juga akan diadakan yang dikenali ‘Gimpuhut’. Katanya, pertandingan berkenaan bukan hanya melihat kecantikan semata-mata tetapi akan diuji menerusi kepakaran menenun pakaian Rungus serta kemahiran tradisional yang lain.

Beliau berkata, majlis perasmian itu bakal dihadiri oleh penyanyi kelahiran Sabah iaitu Stacy yang dijemput khas bagi memeriahkan majlis berkenan.

Justeru katanya, orang ramai dijemput hadir meluangkan masa bagi bersama-sama meraikan pesta itu.

Terdahulu, Pesta Magahau akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

 

Advertisement