Anda di sini

Kontinjen bayangan diperkenalkan

Advertisement

Oleh Harry Ilias//

 (Barisan tengah, dua kanan) Lucas, Affandi, Lee dan Dr Ong bersama-sama para atlet melaungkan slogan ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ pada pelancaran kontinjen Sarawak ‘Dream Team’ di Dewan Suarah Kuching semalam. — Gambar oleh Chimon Upon

SEMANGAT: (Barisan tengah, dua kanan) Lucas, Affandi, Lee dan Dr Ong bersama-sama para atlet melaungkan slogan ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ pada pelancaran kontinjen Sarawak ‘Dream Team’ di Dewan Suarah Kuching semalam. — Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Sarawak menjadi negeri terawal memperkenalkan barisan kontinjen yang bakal membawa cabaran pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA 2016) di sini berlangsung pada 22 hingga 31 Julai tahun depan.

Majlis pelancaran kontinjen Sarawak ‘Dream Team’ diadakan di Dewan Suarah Kuching dan disempurnakan oleh Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin semalam.

Berucap mewakili Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan, Lee amat berpuas hati dengan persiapan atlet-atlet negeri dan percaya mereka dapat mencapai sasaran 70 pingat emas sekali gus memastikan Sarawak bergelar juara keseluruhan SUKMA 2016.

“Saya percaya sasaran 70 pingat emas bukanlah mustahil untuk dicapai dan yakin atlet-atlet kita mampu melakukannya,” katanya di sini semalam.

Pada SUKMA 2014 di Perlis, kontinjen Sarawak berjaya mengutip 48 emas untuk menduduki tempat ketiga di belakang Wilayah Persekutuan dan Terengganu.

Hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee, Pemangku Pengarah MSNS, Lucas Kallang Laeng dan Ketua Penyelaras SUKMA XVIII, Affandi Keli.

Menurut Lee, Sarawak akan menyertai semua 24 acara yang dipertandingkan di beberapa venue di Kuching, Sibu dan Miri.

Katanya, persiapan Sarawak menganjur SUKMA edisi ke- 18 itu juga sedang berjalan mengikut jadual dengan beberapa fasiliti sukan sedang dalam pembinaan dan dinaik taraf.

“Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Sosial giat membina dan menaik taraf kemudahan sukan di semua venue pertandingan dan dijangka disiapkan lebih awal sebelum SUKMA 2016 bermula.

“Antaranya pembinaan pusat akuatik baharu dengan kos bernilai RM163 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini termasuk menaik taraf Stadium Sarawak yang dijangka siap pada Februari 2016,” jelasnya.

Lee berkata, Sekretariat SUKMA 2016 juga telah memulakan operasi di Perbadanan Stadium Negeri Sarawak (SSC) yang memainkan peranan mengurus, mentadbir, menyelaras dan memantau perkembangan dan penyediaan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan sukan.

Beliau turut menjelaskan kepada atlet-atlet agar tidak mengambil makanan atau ubat-ubatan tambahan tanpa merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) dan Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) dalam usaha menjadikan atlet negeri bebas daripada isu doping.

Menurutnya , MSNS meneruskan bengkel kejurulatihan dari semasa ke semasa bagi memastikan jurulatih negeri benar-benar bersedia membawa Sarawak bergelar juara keseluruhan pada SUKMA tahun depan.

Pada majlis sama, Lee turut menyampaikan watikah pelantikan kepada jurulatihjurulatih acara sukan yang akan disertai Sarawak pada tahun depan.

 

 

Advertisement