Anda di sini

Project Park unggul pertahan kejuaraan Liga Petronas Bintulu

Advertisement

BINTULU: Skuad Project Park SDP dinobatkan sebagai juara Divisyen 1 Liga Piala Petronas Edisi Ke-21 sekali gus menjuarai kejohanan itu untuk dua tahun berturutturut.

Kemenangan itu melayakkan Project Park membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat yang disampaikan oleh Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip pada majlis tajaan MLNG dan ABF Sdn Bhd di Kelab Kidurong Bintulu malam kelmarin.

Naib juara disandang oleh ABFSB yang menerima hadiah wang tunai RM2,500, piala iringan dan pingat.

Diikuti tempat ketiga menjadi milik BPJ FC yang menerima RM750, piala iringan dan pingat.

Manakala tempat keempat disandang oleh Tiger Putra UPMKB yang menerima RM500.

Kedudukan kelima hingga ke-10 pula diisi oleh KSR BINDA, MLNG, IPD Bintulu, Legend United, GS Petronas dan Twister.

Project Park dan ABFSB bakal mewakili Bintulu pada kejohanan Liga Juara-Juara Sarawak hujung tahun ini.

Kejohanan Liga Bintulu Lea Sports Centre (Piala Datuk Seri Tiong King Sing) Divisyen 2 pula menyaksikan Lakin Bintulu FC sebagai juara setelah mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas carta liga dengan mencatat rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan yang diharunginya.

Naib juara disandang oleh Kebabin FC, ketiga MMEA SC dan keempat Young Crane.

Anugerah penjaring terbanyak dengan 14 gol disandang oleh Ricky Jhano Sulaiman yang menerima piala dan baucar tunai RM100.

Kedudukan kelima hingga kesembilan ialah Fathir FC, MLNG B, IPD Bintulu B, Legend United B dan MAB.

Juara Liga Bintulu menerima hadiah wang tunai RM2,000, baucar tunai RM2,000, piala iringan dan pingat.

Naib juara menerima RM1,500, baucar tunai RM1,500, piala iringan dan pingat.

Tempat ketiga menerima RM1,000, baucar tunai RM1,000 dan piala iringan, manakala tempat keempat menerima wang tunai RM500.

Talib berkata, sukan bola sepak mampu memupuk semangat kerja berpasukan dan disiplin serta boleh menyatupadukan pemain-pemain pelbagai kaum di negeri ini.

Justeru, katanya, penganjuran dan pembangunan sukan itu perlu disokong sepenuhnya oleh pelbagai pihak memandangkan ia membawa banyak kebaikan sekali gus berharap lebih ramai pemain berbakat di Bintulu dapat dilahirkan yang mampu mewakili negeri dan negara.

Terdahulu Presiden Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) Duke Janteng berkata, penganjuran pelbagai kejohanan liga dan futsal di Bintulu telah menarik seramai 1,800 penyertaan pemain serta pengurusan pasukan merangkumi 19 pasukan lelaki, empat pasukan wanita dan 84 pasukan futsal.

“Kami telah memilih enam pemain untuk Piala Presiden dan enam pemain wanita Bintulu mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan melalui kejohanan yang diadakan itu,” jelasnya.

Selain Liga Petronas dan Liga Bintulu, Duke turut mencadangkan penganjuran kejohanan untuk pemain berumur 19 tahun ke bawah pada masa akan datang dengan nama Piala Datuk Talib Zulpilip bagi memudahkan pemilihan pemain Piala Presiden.

Duke turut berterima kasih kepada Petronas kerana telah 21 tahun menaja Liga Petronas untuk Bahagian Bintulu di samping tajaan Lea Sports Centre dan pelbagai pihak lain.

Turut hadir Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MLNG Group of Companies Dzafri Sham Ahmad, Pengurus Besar Petronas Wilayah Sarawak Shamsur Taha, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu Zaiedy Nor Abu Nasir, pengerusi pertandingan Arni Mentali dan Pengurus Jabatan Hal Ehwal Awam MLNG Norazibah Md Rabu.

Advertisement