Anda di sini

Peserta ‘Larian Bersama Bomba’ Ahad ini digesa ambil pek larian

Advertisement

MIRI: Para peserta ‘Larian Bersama Bomba’ yang akan diadakan pada Ahad, 14 Jun ini digesa mengambil pek larian masing-masing bermula hari ini dan esok.

Pek larian itu boleh diambil dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng yang terletak di Jalan Miri Bypass di sini dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

Sehubungan itu, Penguasa Bomba Zon 6, Law Poh Kiong menasihatkan para peserta supaya membawa bersama resit bayaran sebagai bukti penyertaan untuk melancarkan proses pengagihan pek berkenaan.

“Manakala bagi peserta dari luar kawasan Miri yang tidak berkesempatan untuk mengambil pek larian pada dua hari tersebut, mereka boleh menghubungi pegawai urus setia, Maureen Sim melalui talian 010-7908796 untuk pertanyaan lanjut,” ujar beliau pada sidang media di sini semalam.

Dalam pada itu, menurut beliau, untuk memastikan keselamatan para pelari, sebahagian daripada laluan masuk ke kawasan Marina Park akan ditutup mulai jam 5 pagi hari tersebut nanti.

Selain itu, beberapa anggota polis trafik, RELA dan sukarelawan akan ditempatkan di sepanjang laluan untuk mengawal lalu lintas sehingga semua pelari menamatkan larian masing-masing.

Pada sidang media sama, turut menyaksikan Law menerima tajaan hadiah daripada pihak Beach Republic untuk acara larian tersebut.

Menurut pengurus operasi Beach Republic, Chai Fu Ngen, tajaan itu merangkumi hamper, baucar bilik dan baucar makanan untuk hadiah cabutan nombor bertuah.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa terharu di atas kesudian ahli Kelab Lion Batu Niah untuk menyumbang tenaga dalam memastikan acara larian pada Ahad ini berjalan lancar.

Advertisement