MELAKA: Orang ramai diingatkan mengenai sindiket ‘Macau Scam’ yang berlagak sebagai anggota polis bagi memperdaya mangsa.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata pihak polis tidak akan membuat sebarang urusan dengan anggota masyarakat melalui panggilan telefon sebaliknya mereka akan diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau Ibu Pejabat Polis Daerah sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan.
“Semalam (kelmarin) saya sendiri menerima maklumat daripada seorang ahli perniagaan bahawa dia mendapat panggilan telefon daripada kononnya Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Negeri yang mendakwa ahli perniagaan berkenaan terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.
“Ahli perniagaan itu kemudiannya diminta menghubungi seorang lagi pegawai polis kononnya dari Hong Kong melalui nombor yang diberikan, tetapi ahli perniagaan itu tidak meng-endahkan arahan tersebut,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan seumpama itu diminta agar mendapatkan pengesahan dari IPK Melaka sebelum mengikut arahan atau permintaan sindiket berkenaan melalui panggilan telefon.
Chuah berkata ini kerana sindiket itu mempunyai pelbagai helah untuk memperdaya mangsa dan menyebabkan kerugian wang tunai.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan cuba mendapatkan lebih banyak pistol renjatan elektrik ‘taser gun’ sebagai senjata alternatif terutama ketika menghadapi kejadian amuk atau rusuhan bersenjatakan seperti parang bagi mengelak pelaku daripada mengalami kecederaan atau mati akibat tembakan senjata api. — Bernama