Anda di sini

FC Brooke lakar sejarah

Advertisement

Tidak terkalah sepanjang musim, juara K-league iM

Oleh Harry Ilias //

 Pemain FC Brooke meraikan kejayaan menjuarai K-league iM 2015 bersama barisan jurulatih dan pegawai skuad itu semalam.

SAAT MANIS: Pemain FC Brooke meraikan kejayaan menjuarai K-league iM 2015 bersama barisan jurulatih dan pegawai skuad itu semalam.

KUCHING: Penantian selama 11 tahun FC Brooke untuk bergelar juara Liga Kuching berakhir semalam selepas skuad itu ditabalkan juara baharu K-league iM 2015.

Kejayaan bersejarah FC Brooke tercatat selepas skuad kendalian bekas bintang Sarawak, Samsul Napiah itu menewaskan Marr SC 5-0 pada perlawanan terakhir yang berlangsung di Padang C semalam.

FC Brooke mengesahkan kejuaraan selepas mengumpul 29 mata hasil daripada sembilan kemenangan dan dua kali seri.

Lebih manis apabila FC Brooke juga muncul satusatunya skuad yang tidak terkalah dalam saingan liga musim ini.

“Syabas kepada semua pemain kerana memastikan impian kita selama 11 tahun untuk bergelar juara tercapai,” ujar Pengurus FC Brooke, Zaidan Lee semalam.

“Terima kasih kepada barisan jurulatih diketuai Samsul yang bertungkus-lumus membentuk skuad yang cukup mantap kali ini.

“Tidak lupa juga pihak pengurusan FC Brooke terutama CEO kita, Zuraimi Sabki yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada skuad ini untuk terus berusaha hingga tercapai kejayaan bersejarah ini,” tambahnya.

Menurut Zaidan, kejayaan skuadnya kali ini didorong oleh kerjasama erat dari semua pihak serta persediaan yang cukup rapi terutama dari aspek pemilihan pemain.

Sementara itu, Samsul turut melahirkan rasa syukur dan gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya sambil menyifatkan ia sesuatu yang cukup bermakna baginya.

Menurutnya, misi FC Brooke seterusnya adalah Liga Juara-Juara Sarawak 2015 dan Piala Datuk Amar Abang Johari yang dijangka bermula selepas sambutan Aidilfitri nanti.

“Kita akan meningkatkan persiapan untuk menghadapi dua kejohanan ini terutama Liga Juara-Juara yang cukup berprestij dan menjadi buruan pemain-pemain terbaik dari seluruh negeri,” katanya.

Gol-gol FC Brooke semalam dijaringkan oleh Ahmad Shakri (29, 87), Khairulnizam Johari (38), Ahmad Media Sharkawi (56) dan Awangku Fazreen (85).

Kempen liga diteruskan dengan Riaz FC akan turun berdepan JPAM SJN FC petang ini.

Advertisement