Anda di sini

CFAS menang tipis ke atas AFA pada aksi persahabatan Jelajah AFA 2015

Advertisement

SIBU: Pasukan pilihan Chameleon Futsal Academy Sibu (CFAS) menang tipis 5-4 ke atas Persatuan Futsal Australia (AFA) pada perlawanan persahabatan di Gelanggang Futsal Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Bukit Lima, petang kelmarin.

Perlawanan persahabatan membabitkan pasukan bawah 12 tahun kedua-dua pasukan, berlangsung sempena Jelajah Antarabangsa AFA ke Malaysia 2015.

Sebelum ini, pasukan bawah 12 tahun AFA telah bertemu dengan pasukan pilihan di Miri dan Mukah, sebelum meneruskan jelajah ke Kuching.

Pada perlawanan yang berlangsung sengit, separuh masa pertama menyaksikan kedua pasukan terikat 2-2, di mana pasukan tuan rumah berjaya menjaring dua gol pada awal perlawanan.

Tersentak dengan jaringan awal itu, pasukan pelawat menggandakan asakan sebelum berjaya mengikat kedudukan 2-2 sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua perlawanan bertambah sengit apabila kedua-dua pasukan berselang seli menjaringkan gol bagi mendahului lawan masing-masing sehingga kedudukan 4-4.

Namun, pemain pasukan CFAS enggan tewas di gelanggang sendiri apabila terus mengasak kubu lawan bagi memburu gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan untuk kedudukan 5-4.

CFAS merupakan salah satu daripada 16 ahli gabungan Vikings Futsal Sarawak (VFS), di mana VFS pula merupakan ahli gabungan kepada AFA di Malaysia.

Ini merupakan tahun kelima siri jelajah AFA ke Malaysia.

Menurut Pengurus Pasukan AFA Ros Woodard, pasukan bawah 12 tahun kali ini menampilkan sembilan pemain yang dipilih dari seluruh Australia.

Katanya, mereka datang dari Melbourne, Queensland dan Sydney serta merupakan pemain terbaik yang dipilih dari kejohanan futsal yang dianjurkan.

“Kesemua pemain amat teruja dapat berada serta beraksi di Sarawak,” ujar Rosa yang turut berpuas hati dengan kemudahan sukan yang ada di negeri ini.

Pada perlawanan di Miri, pasukan AFA berjaya memenangi kedua-dua perlawanan sementara menang sekali dan tewas sekali di Mukah.

Hadir sama ialah Pengarah VFS Awang Zaifulizan Abdul Rahman, Pegawai Sukan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu Terence Tan dan jurulatih CFAS Halel Mohd Ibrahim.

Turut hadir memberikan sokongan ialah bekas pemain kebangsaan Cameroon merangkap bekas pemain pasukan Sarawak 2013 Guy Bwele.

Advertisement