Anda di sini

Pelados Spaoh layak bergelar juara

Advertisement

Aksi mantap dan prestasi terbaik menjadi bekalan untuk harungi Liga Juara-Juara pada Oktober depan

Oleh Saleman Senin //

 Skuad Pelados Spaoh merakamkan kenangan selepas bergelar juara Liga Betong 2015.

SELAYAKNYA JUARA: Skuad Pelados Spaoh merakamkan kenangan selepas bergelar juara Liga Betong 2015.

BETONG: Pelados Spaoh membuktikan mereka layak selaku pasukan juara Liga Betong 2015 apabila membenam Permata Kota 2-0 di Kompleks Sukan Betong lewat petang kelmarin.

Kejuaraan yang cukup manis tercipta apabila menewaskan lawan pada aksi yang berlangsung dalam hujan renyai-renyai sekali gus membuktikan kepada penyokong bahawa mereka berada dalam prestasi yang cukup bersedia.

Namun, mereka terpaksa menanti sehingga minit ke- 33 untuk melangkah ke persada liga dengan jaringan penyerang berbakat, Amizi Badir dan Syadam Rahmat pada minit ke-49 memastikan kemenangan yang cukup bermakna dan menempah tiket ke kempen Liga Juara- Juara Sarawak yang akan berlangsung Oktober nanti di Kuching.

Kemenangan itu juga melengkapkan kejuaraan berganda Pelados Spaoh pada musim ini setelah memenangi Piala Sumbangsih pada awal musim.

“Apa yang nyata pemain telah membuktikan dan berada pada prestasi yang cukup bersedia untuk melayakkan kemenangan milik kami,” kata pengurus pasukan Abang Suhordie Abang Zaini.

“Kejayaan ini adalah suatu yang cukup menarik dan kemenangan yang amat berharga buat kami dalam membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap untuk perlawanan yang akan datang,” tambahnya.

Dalam pada itu, pasukan Saribas United layak mengiringi Pelados Spaoh apabila terlebih dahulu memenangi perlawanan mereka menentang Madabe FC dengan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Jurija Sujaidi pada minit ke-15.

Kedudukan Liga Betong 2015 setelah menamatkan perlawanan masing-masing ialah juara, Pelados Spaoh sementara itu Saribas United pada kedudukan naib juara.

Kedudukan ketiga dan keempat masing-masing Bersepai FC dan Permata Kota.

Perebutan Piala Datuk Patinggi Jabu akan berlangsung selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Apapun kesemua pasukan yang menyertai kejohanan kali ini akan layak untuk menyertai perebutan Piala Datuk Patinggi Jabu,” ujar Timbalan Setiausaha Kehormat BDFA, Borhan Chali ketika mengulas berhubung kejohanan.

“Kita juga akan membuat cabutan undi untuk mengharungi kejohanan yang dijadualkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Kepada semua pengurus setiap pasukan, BDFA akan memaklumkan sebarang maklumat bagi mengharungi kejohanan yang memasuki edisi ke-17 pada tahun ini.

“Harap semua pasukan lebih bersedia untuk menghadapi kejohanan dalam sistem kalah mati itu nanti,” tambahnya.

Advertisement