Anda di sini

Miri sasar muncul juara wushu Kejohanan Fit Malaysia Bintulu

Advertisement

MIRI: Persatuan Wushu Bahagian Miri (PWBM) berharap dapat menjuarai Kejohanan Fit Malaysia Bintulu (KFMB) yang bakal berlangsung pada 13 dan 14 Jun ini.

Ketua Jurulatih PWBM Master Tiong Ching Chiong berkata, pihaknya mendapat tempat kedua pada tahun lepas dan kali ini mereka bertekad untuk menjuarainya.

“Kali ini kita akan cuba sedaya upaya untuk menjuarai Fit Malaysia dan kita letakkan kepercayaan sepenuhnya kepada atlet-atlet,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Seramai 12 atlet yang mewakili PWBM bakal bertanding dalam sembilan kategori utama kejohanan kali ini.

Atlet-atlet terbahagi kepada perseorangan bawah 13 tahun, perseorangan 13 tahun dan ke atas serta berkumpulan yang tidak lebih daripada enam orang sepasukan.

Setakat ini, pencapaian PWBM sangat menggalakkan memandangkan pihaknya baharu sahaja mendapat enam pingat emas dan enam pingat perak pada Pertandingan Wushu Antarabangsa di Kuala Lumpur minggu lepas.

Sementara itu, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin memberikan kata-kata semangat supaya PWBM mencapai pencapaian terbaik pada kali ini.

Ini secara langsung boleh mengharumkan nama sukan wushu dan juga Sarawak di persada sukan negara, katanya.

Advertisement