Anda di sini

Malaysia perlu pertimbang wujud pusat bencana alam: Penyelidik

Advertisement

JOHOR BAHARU: Malaysia perlu mempertimbang untuk mewujudkan sebuah pusat bencana alam, yang berfungsi untuk mencerap dan menganalisis petanda awal bencana itu pada masa hadapan, kata seorang penyelidik semalam.

Ketua Kumpulan Penyelidik Geokejuruteraan dan Geobencana Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Edy Tonnizam Mohamad berkata ketiadaan sebuah pusat yang mengkhusus kepada perkara itu secara bersepadu ketika ini, menyukarkan Malaysia untuk mempersiap negara dan rakyat bagi menghadapi bencana itu.

“Dalam peristiwa bencana gempa bumi di Ranau baru-baru ini, kami dapati mereka yang terkorban adalah pendaki Gunung Kinabalu.

“Kalaulah bahasa alam (petanda awal) ini dapat kita pelajari dan bangunkan, sudah tentu ia dapat membantu kita menghadapinya pada masa hadapan,” kata beliau dalam sidang media di Universiti Teknologi Malaysia, di sini semalam.

Edy berkata negara tidak mengalami masalah untuk menubuhkan pusat itu kerana telah mempunyai sejumlah kepakaran dalam pelbagai bidang untuk ditempatkan di pusat berkenaan.

“Kita tidak kekurangan pakar. Mereka kini dalam bidang masing-masing iaitu di Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Mineral Geosains.

“Cuma ia tidak disepadu-kan. Bila ia disepadukan menerusi pusat ini, saya percaya, mereka boleh duduk bersama mengkaji bentuk-bentuk bencana alam,” kata beliau.

Edy berkata penubuhan pusat seumpama itu telah dilakukan oleh negara luar seperti Amerika Syarikat (Amerika) dan Jepun.

Namun, dalam konteks ini, Malaysia tidak perlulah mengikut secara total modul dan sistem yang digunakan itu kerana risiko gempa bumi di Jepun dan Amerika adalah jauh lebih tinggi berbanding di sini.

Mengulas tentang potensi gempa bumi di Malaysia, Edy berkata kawasan di pantai timur Sabah adalah antara yang paling berisiko tinggi selain Sarawak, utara dan tengah Semenanjung Malaysia.

Ini adalah berdasarkan kajian dan data yang diperoleh daripada penyelidikan yang dijalankan pihaknya sebelum ini. — Bernama

Advertisement