Anda di sini

Alberts tetap puas hati prestasi pemainnya

Advertisement

KUCHING: Pengendali Sarawak, Robert Alberts tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya sekali pun belum mencatat sebarang kemenangan dalam dua aksi persahabatan sebelum ini.

Ngap Sayot mencatat dua keputusan seri setakat ini menentang Selangor PKNS (2-2) pada 6 Jun dan UiTM (2-2) pada 8 Jun lepas.

Menurut Alberts, kemenangan bukan matlamat utamanya, sebaliknya beliau mahukan pemain mengembalikan tahap kecergasan selepas berehat terlalu lama.

Apa yang menggembirakan beliau adalah pemain mula menyerap strategi baharu yang beliau perkenalkan pada dua aksi persahabatan itu.

“Saya mahu melihat keserasian pemain selepas terlalu lama berehat dan gembira kerana mereka berjaya menunjukkan apa yang saya mahukan,” ujarnya.

“Tidak dinafikan, rehat terlalu lama banyak menjejas persembahan pemain namun mereka telah kembali menemui prestasi sebenar dalam dua perlawanan ini.”

Dalam aksi menentang UiTM pada Isnin lalu, Sarawak ketinggalan 0- 2 sebelum berjaya mengikat kedudukan 2-2 hingga tamat masa perlawanan hasil jaringan Ivan Fatic dan Ryan Griffiths.

Sarawak akan menamatkan siri jelajah mereka dengan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam ini.

Mereka akan menentang Perak di Stadium Negeri pada 20 Jun ini sekali gus menutup pusingan pertama Liga Super 2015.

Sarawak berada di tangga kesembilan dengan 12 mata hasil dari tiga kemenangan dan tiga seri.

Advertisement