Anda di sini

Masalah jurulatih dihadapi TTAS akan berakhir, jelas Ong

Advertisement

KUCHING: Masalah jurulatih dihadapi Persatuan Pingpong Sarawak (TTAS) akan berakhir tidak lama lagi.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan pucuk pimpinan TTAS bagi membincang dan menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.

“MSNS menyokong penuh usaha TTAS membangunkan pingpong dan kita membantu dalam apa juga perkara demi kemajuan sukan itu,” katanya semasa majlis penyerahan bendera dan jersi Sarawak kepada atlet remaja yang akan menyertai Kejohanan Kadet dan Remaja Kebangsaan di Alor Setar, Kedah dari 9-14 Jun ini.

Atlet sama juga terlibat pada Kejohanan Remaja Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada 18-22 Jun ini.

Pengerusi TTAS, Melvin Wong menyampaikan taklimat kepada Dr Ong mengenai persiapan atlet negeri untuk menghadapi dua kejohanan tersebut.

Hadir sama Pemangku Pengarah MSNS, Lucas Kallang Laeng dan Timbalan Pengerusi TTAS, Paul Ling.

“MSNS dalam proses penstrukturan semula dan kita akan menangani pelbagai polisi seperti diskriminasi, keganasan, penggunaan dadah dan ‘fairplay’ dalam persatuan sukan,” ujar Dr Ong.

Beliau juga gembira dengan pemilihan 10 atlet negeri mewakili negara pada Kejohanan Remaja SEA kebangsaan sambil menyifatkan ia peningkatan cukup besar jika dibandingkan dengan hanya seorang atlet dipanggil tahun lalu.

“Pada tahun lalu, hanya seorang atlet remaja dipanggil namun kini kita mempunyai seramai 10 wakil dalam skuad negara.

Ini cukup baik dan saya berharap Sarawak akan melahirkan lebih ramai atlet kebangsaan.

“Tiada istilah pemain dari Kuching, Miri atau Sibu dan kita tidak akan menyokong hanya satu bahagian negeri sahaja.

Kita sentiasa menyokong usaha pembangunan dilaksanakan TTAS,” tambah beliau.

 

Advertisement