Anda di sini

Lelaki ditangkap hina Sabah di laman Facebook

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditangkap kerana menghina penduduk Sabah berikutan kejadian gempa bumi pada 5 Jun lepas yang telah mengorbankan 18 orang termasuk pendaki dan juga jurupandu arah.

Lelaki yang berumur 22 tahun itu mengeluarkan kenyataan di laman Facebooknya pada 6 Jun lalu berbunyi: “kene gempa bumi bru nk kecoh.. Standard la negeri penuh sociality…pub…night club trbanyak di malaysia… Nk goyang sgt kn. tuhan dh bg goyang tu..knpa tkut pla??”. Status itu berkaitan dengan gempa bumi yang berlaku di beberapa daerah di Sabah pada 5 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, polis berjaya menangkap suspek pada 7 Jun kira-kira jam 9 malam selepas satu aduan dibuat ke atas suspek 12 jam sebelum itu.

“Polis berjaya merampas sebuah telefon bimbit jenama Lenovo S850 dan dua keping kad Sim seterusnya merakamkan percakapan suspek.

“Urusan siasatan terhadap suspek selesai kira-kira jam 11 malam,” katanya.

Chandra berkata, siasatan akan dilengkapkan segera dan akan disampaikan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Sabah bagi tujuan mendapatkan arahan pendakwaan.

Katanya, kes itu akan disiasat berdasarkan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan atau 233 Akta Komunikasi Multimedia.

 

 

 

Advertisement