Anda di sini

Kerajaan pertimbang syor status 43,861 pekerja kontrak awam

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang syor-syor dikemukakan berkenaan status 43,861 pekerja kontrak kerajaan sebelum membuat keputusan berkenaan perkara tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beberapa syor telah dikemukakan kepada kerajaan bagaimanapun sebarang keputusan adalah berdasarkan kedudukan kerajaan dari semasa ke semasa.

“Beberapa syor telah pun dikemukakan kepada kerajaan, dan sudah pasti kerajaan akan pertimbangkan mengenai perkara ini.

“PM (Perdana Menteri) akan umumkan jika ada keputusan nanti,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Wee mahu tahu apakah perancangan kerajaan terhadap status pekerja awam kontrak di setiap kementerian.

Menjawab soalan tambahan Wee mengenai sama ada kerajaan akan mempercepat penyerapan pekerja kontrak tersebut, Shahidan berkata kerajaan tidak meletakkan komitmen untuk menyerap setiap penjawat awam kontrak ke jawatan tetap, sebaliknya kakitangan perlu memohon berdasarkan kelayakan dan pengalaman mereka.

“Namun begitu, pengalaman boleh dijadikan kelebihan dan kerajaan juga sentiasa membantu pegawai lantikan kontrak yang akan menghadiri program temu duga,” katanya.

Petugas kontrak juga didedahkan dengan program latihan untuk mempertingkat kompetensi dalam bidang pekerjaan dan sebagai persediaan temu duga ke jawatan tetap, katanya. — Bernama

 

Advertisement