Anda di sini

Cuba bunuh isteri, hukuman ditingkatkan kepada 15 tahun

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini kelmarin meningkatkan hukuman penjara dari 10 tahun kepada 15 tahun penjara terhadap seorang lelaki atas kesalahan cuba membunuh isterinya.

Tiga korum hakim Mahkamah rayuan terdiri Tan Sri Md Raus Sharif, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Linton Albert membuat keputusan itu terhadap Syarizan Abdul Raja selepas membenarkan rayuan terhadap hukuman yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu, mahkamah turut menolak rayuan terhadap sabitan yang dikemukakan oleh peguam Sugumar Balakrishnan.

Terdahulu, Syarizan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun atas pertuduhan cuba membunuh isterinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Julai 2008, jam 8 malam di dalam kereta Proton Saga di Jalan Utara Baru Tawau, dengan mengelar leher isterinya menggunakan sebilah pisau.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu dalam kes berasingan, mahkmah menangguhkan ke satu tarikh baharu terhadap rayuan pembebasan Amir Ali Khan Nawaty yang dituduh menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan di Kota Marudu.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu apabila dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa responden yang diperintah untuk membela diri tidak hadir ke mahkamah.

Terdahulu pada Februari 2014, Amir telah dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada pertuduhan menyebabkan kematian Norikoh Saliwa, 16.

Amir yang berasal dari Buner, Pakistan, didakwa menyebabkan kematian mangsa pada 25 November 2011 antara jam 11 pagi hingga jam 12.30 tengah hari, di dalam sebuah lori yang bergerak, di KM2.8, Jalan Kota Marudu-Langkon.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

 

Advertisement