Anda di sini

3.5 hektar kawasan hutan tanah gambut di Tok Kah Dungun terbakar

Advertisement

DUNGUN: Cuaca panas dan kering sejak lebih seminggu lalu menyebabkan kemusnahan kira-kira 3.5 hektar kawasan hutan tanah gambut di Kampung Tok Kah, dekat sini.

Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohd berkata punca utama kebakaran itu dipercayai daripada segelintir penduduk yang tidak mengawasi pembakaran ketika melakukan kerja pembersihan kebun dan ladang kelapa sawit.

“Ketika ini seluas 2 hektar hutan telah berjaya dipadamkan api dan kerja-kerja pemadaman sepenuhnya akan diteruskan.

“Kami mengalami sedikit kesulitan memadamkan kebakaran ini kerana faktor cuaca yang panas dan dengan bantuan angin, menyebabkan api yang berada dalam tanah, merebak dengan lebih cepat.

“Malah keadaan struktur tanah gambut yang terdiri daripada tunggul kayu dan akar yang reput menyebabkan api di bawah tanah menjadi lebih sukar dikawal untuk pemadaman,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini semalam.

Amri berkata pihak bomba juga telah mengesan beberapa tompokan baharu dan pada masa sekarang pihaknya melakukan kawalan pencegahan seperti membuat benteng bagi mengelak api merebak ke kawasan lain.

“Kami terpaksa mengubah kaedah kerana punca air parit berhampiran terlalu cetek hingga menyebabkan pam generator tidak berupaya menyedut air dengan lancar. Malah proses pemadaman bertambah sukar kerana sumber air sedia ada terlalu jauh dari lokasi kebakaran,” katanya. — Bernama

 

Advertisement