Anda di sini

Tidak perlu orang tengah selesai isu dengan PAS: DAP

Advertisement

Segala permasalahan akan dibincangkan secara langsung

KUALA LUMPUR: DAP tidak perlu mana-mana pihak untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik parti itu dengan PAS, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata DAP yang ditubuhkan sejak 1966 mempunyai paling banyak Ahli Parlimen dalam pakatan pembangkang dan mampu menghadapi sebarang permasalahan dengan mengadakan perbincangan secara langsung dengan sekutunya itu.

“Perkara atau masalah dengan PAS tak perlu mana-mana orang tengah  (untuk diselesaikan). Sebarang permasalahan harus dibincang secara langsung (dalam kalangan anggota) dan bukan menerusi orang tengah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan PKR kelmarin yang bersedia memainkan peranan sebagai orang tengah dalam menyelesaikan konflik antara parti itu dengan PAS.

Hal ini berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada Rabu lalu yang meluluskan usul tanpa dibahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP kerana tidak selari dalam isu hudud.

Dalam pada itu, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata PAS perlu mengarahkan pemimpinnya untuk meletakkan jawatan dalam pentadbiran di negeri itu jika mahu memutuskan hubungan dengan DAP.

“Kerajaan negeri adalah di bawah pimpinan DAP, jadi apakah logiknya sekiranya pemimpin-pemimpin PAS masih lagi berkhidmat di bawah pimpinan DAP (jika mahu putus hubungan)?

“Saya tidak berhak untuk mengarahkan mereka untuk meletakkan jawatan kerana yang mahu putuskan hubungan dengan kami adalah PAS, jadi PAS yang harus bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas isu itu, bekas Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berpendapat sekiranya Dewan Muktamar PAS kekal dengan keputusannya untuk memutuskan kerjasama dengan DAP, parti itu masih boleh bertindak sebagai sebuah parti mesra Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

“Sejujurnya saya masih sayang kerjasama yang dibentuk selama ini tetapi kita serahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan namun kalau ditakdirkan PAS terkeluar dari Pakatan Rakyat, PAS boleh jadi komponen yang mesra Pakatan Rakyat di kedua-dua negeri ini (Pulau Pinang dan Selangor),” katanya.

Ditanya sama ada PAS akan berpatah balik dan mempertimbangkan semula usul tersebut sekiranya DAP cuba berlembut dalam masa terdekat, Mahfuz berkata perkara itu hanya akan mendatangkan persepsi negatif daripada umat Islam.

“Kalau PAS berpatah balik daripada apa yang dinyatakan dalam usul sudah tentu ia akan mengundang persepsi buruk dan sokongan yang kurang daripada orang Islam.

“Keputusan ‘u-turn’ itu seolah-olah melihat PAS tidak mahu melepaskan jawatan disebabkan ingin mempertahankan kedudukan semata-mata,” katanya.

Pada Rabu lepas, Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang. — Bernama

Advertisement