Anda di sini

Tiada kaitan aksi bogel

Fenomena alam tiada kaitan dengan ‘semangat’ gunung

 Kamarlin membuat sepakan sebagai gimik perasmian Kejohanan Bola sepak Piala ADUN Lumadan yang diadakan di Padang SK Gadong.

TIADA KAITAN: Kamarlin membuat sepakan sebagai gimik perasmian Kejohanan Bola sepak Piala ADUN Lumadan yang diadakan di Padang SK Gadong.

BEAUFORT: Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi menyifatkan kejadian yang menimpa pendaki Gunung Kinabalu bukandisebabkanolehtindakan sekumpulan pelancong asing yangberbogeldipuncakgunung itu bulan lepas.

Sebaliknya, beliau berpendapat bahawa tragedi berkenaan merupakan fenomena alam yang langsung tidak mempunyai hubung kait dengan ‘semangat’ Gunung Kinabalu.

Beliau menegaskan jika dilihat dari segi saintifik, daerah Ranau terdedah kepada risiko itu kerana ia terletak di garisan gempa bumi.

Bukan itu sahaja, malah teori pakar sebelum ini turut menyatakan bahawa ia mempunyai hubungan dengan tragedi tsunami yang berlaku pada 2004.

“Terpulang kepada kepercayaan masing-masing, memandangkan Gunung Kinabalu dianggap suci oleh masyarakat Sabah khususnya dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun dan seharusnya ia tidak dicemari perkara negatif (bogel) kerana ia bukan budaya kita.

“Ini adalah pendapat saya dan sebagai orang Islam, musibah yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bola sepak Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Gadong, petang Sabtu lepas.

Kamarlin yang juga ADUN Lumadan berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak yang mengaitkan kejadian gempa di Sabah khususnya di Ranau yang terjejas teruk angkara aksi bogel sekumpulan pelancong baru-baru ini.

Dilaporkan, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan turut menyalahkan tindakan biadap pendaki asing itu sebagai punca gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda pada pagi Jumaat lalu.

Huguan Siou bagi masyarakat Kadazan Dusun itu dipetik sebagai berkata, bencana itu disebabkan perbuatan mereka yang tidak menghormati tradisi masyarakat tempatan bahawa Gunung Kinabalu adalah tanah suci.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Insfrastruktur turut memberitahu akan mengadakan satu upacara untuk memujuk ‘semangat’ gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.