Anda di sini

Soal selidik standard dirangka nilai tahap psikologi juruterbang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengarahkan pemeriksa perubatan penerbangan awam dan pakar psikologi untuk merangka soal selidik standard bagi menilai tahap kesihatan mental dan psikologi semua juruterbang di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata langkah itu bagi mengelak insiden nahas pesawat Airbus Germanwings di Perancis pada 24 Mac lepas berikutan juruterbangnya yang dikatakan mengalami kemurungan serius dilaporkan sengaja menghempaskan pesawat itu.

“Semua juruterbang di negara ini nanti perlu melalui pemeriksaan kesihatan psikologi menerusi soalan-soalan untuk menguji dan menilai tahap mental mereka.

“Bagaimanapun seperti yang kita tahu, mental seorang juruterbang ini tiada yang spesifik. Mungkin pada masa tertentu juruterbang boleh mengalami masalah mental dan stres contohnya akibat masalah rumah tangga. Sedangkan sebelum ini juruterbang tersebut mungkin sihat dan tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ong Ka Chuan (BN-Tanjung Malim) yang ingin tahu langkah dilakukan kerajaan untuk mengadakan ujian mental dan fizikal terhadap juruterbang di negara ini bagi memastikan mereka berada pada tahap fizikal yang baik serta tidak mengalami gangguan emosi semasa bertugas.

Ab Aziz berkata, insiden juruterbang pesawat Airbus Gremanwings itu merupakan satu perkara baharu dan belum pernah berlaku dalam industri penerbangan dan kerajaan perlu mengambil langkah untuk menangani kejadian seumpama itu daripada berlaku membabitkan juruterbang di negara ini.

Katanya pada masa ini semua juruterbang hanya menjalani ujian kesihatan fizikal mengikut Peraturan Penerbangan 1996 yang mengkehendaki mereka menjalani pemeriksaan sekali setahun bagi yang berumur 40 tahun ke bawah dan dua kali setahun bagi yang berumur 40 tahun ke atas.

Pada masa ini, sebanyak 3,975 juruterbang di negara ini berdaftar dengan Jabatan Penerbangan Awam dan 389 daripada jumlah itu terdiri daripada warga asing, katanya. — Bernama

Advertisement