Anda di sini

RM13 bilion diperuntuk kerajaan untuk BR1M

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM13 bilion dari tahun 2012 hingga 2015 bagi pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memanfaatkan hampir 7.4 juta rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pada tahun ini sahaja kerajaan menyediakan lebih RM5 bilion sebagai peruntukan bantuan itu yang diagihkan mengikutkan pendapatan isi rumah.

“Pada tahun 2015 isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah yang menerima BR1M adalah 4.1 juta orang dengan jumlah keseluruhan BR1M ialah RM3.9 bilion.

“Sementara untuk isi rumah RM3,001 hingga RM4,000 jumlah penerima ialah 400,010 orang dan jumlah BR1M RM300 juta dan untuk individu bujang yang berpendapatan RM2,000 ke bawah jumlah penerima ialah 2.7 juta dengan jumlah bantuan RM947 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) yang ingin tahu jumlah penerima BR1M 2015 yang masih tidak mempunyai akaun simpanan untuk menerima bantuan itu melalui perbankan, dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad berkata untuk BR1M tahun ini juga, seramai 6.4 juta penerima telah mengemukakan maklumat akaun dan menerima bantuan mereka terus ke akaun bank masing-masing, sementara 820,000 penerima masih menerima bantuan itu melalui baucar.

Beliau menambah, bagi mengurangkan masalah ketirisan dn memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan itu, proses verifikasi dilaksanakan secara menyeluruh setiap tahun dengan semakan bersama data-data dari pelbagai agensi kerajaan.

Antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Akaun Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, katanya. — Bernama

Advertisement