Anda di sini

Pegawai polis orang terbaik jurubahasa dalam situasi huru-hara

Advertisement

KOTA KINABALU: Dalam situasi huru-hara, pegawai polis yang fasih bertutur bahasa ibunda suspek adalah orang terbaik untuk menterjemah kenyataan suspek kepada hakim mahkamah, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Bekas pegawai siasatan jenayah ASP Vernon Sinclair Dalton Doel berkata beliau telah mendapatkan khidmat anggota polis sedemikian apabila menyoal siasat individu warga Filipina yang disyaki terlibat dalam insiden pencerobohan Lahad Datu.

Kepada soalan oleh peguam Datuk N. Sivananthan semasa pemeriksaan balas, pegawai polis itu memberitahu mahkamah beliau tidak menyedari bahawa khidmat jurubahasa boleh digunakan apabila polis merakamkan kenyataan daripada suspek.

Vernon Sinclair, kini merupakan pegawai penjaga Balai Polis Labuan, memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh sekumpulan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Saksi juga tidak bersetuju dengan andaian peguam bahawa menggunakan khidmat anggota polis sedemikian dan bukannya jurubahasa mahkamah untuk menterjemahkan kenyataan suspek adalah supaya apa yang dikatakan oleh suspek boleh diubah suai.

Vernon Sinclair memberitahu mahkamah beliau tidak sedar bahawa terdapat seseorang yang telah menyerah diri kepada pasukan keselamatan di Tanjung Labian di Lahad Datu, dijadikan saksi yang dilindungi dalam kes itu.

Beliau juga berkata beliau tidak tahu jika orang itu dijadikan saksi yang dilindungi untuk ‘mengawalnya’ daripada memberitahu keadaan sebenar semasa pencerobohan itu jika dia memberi keterangan di Mahkamah.

Sivananthan: Apabila kamu menerima orang ini pada 25 Mac 2013, adakah orang ini ditahan di balai polis Cenderawasih?

Vernon Sinclair: Ya.

Sivananthan: Adakah kamu sedar bahawa orang ini dimasukkan dalam sel yang sama dengan tertuduh ke-11 (Anuar Salib Akhmad) dalam kes ini?

Vernon Sinclair: Saya tidak tahu.

Sivananthan: Adakah kamu sedar bahawa orang ini dipukul hampir setiap hari semasa disoal sioasat oleh polis?

Vernon Sinclair: Saya tidak tahu.

Sivananthan: Adakah kamu sedar bahawa orang ini telah memberitahu tertuduh ke-11 bahawa dia tidak tahan lagi menanggung pukulan itu dan tertuduh ke-11 menasihatkannya menyatakan apa sahaja (kepada polis) untuk menyelamat nyawanya?

Vernon Sinclair: Saya tidak tahu.

Kepada soalan lain oleh Sivananthan, pegawai polis itu berkata beliau tidak ingat sama ada orang itu memberitahunya bahawa dia dijanjikan kerja dan sebidang tanah apabila tiba di Sabah dengan menaiki bot bersama empat daripada tertuduh yang dibicarakan.

Saksi itu berkata beliau juga tidak ingat jika orang itu memberitahunya tentang cubaan untuk melarikan diri bersama empat lelaki lain daripada kumpulan penceroboh selepas menyedari niat sebenar penceroboh yang diketuai seorang bernama Datu Agbimuddin Kiram.

Di dalam kandang tertuduh adalah 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan yang menghadapi pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013. — Bernama

Advertisement