Anda di sini

Wang ihsan RM10,000 kepada keluarga mangsa terkorban

Advertisement

RM2,000 untuk mangsa cedera, yang trauma terima RM1,000

RANAU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam bencana gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda Sabah pada Jumaat lepas.

Muhyiddin berkata RM5,000 daripada bantuan wang ihsan itu, yang diperuntukkan kepada warganegara Malaysia sahaja, adalah sumbangan kerajaan persekutuan manakala RM5,000 lagi daripada kerajaan negeri Sabah.

“Pihak kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri akan membantu (keluarga) mereka yang terkorban. Kita putuskan berdasarkan formula yang kita guna pakai dalam soal beri bantuan bencana. Mungkin boleh digunakan untuk mengurus jenazah, pengebumian dan sebagainya,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat berhubung kejadian gempa bumi itu di sini semalam. Terdahulu, beliau melawat lokasi di Ranau bagi meninjau kerosakan dialami akibat bencana berkenaan.

Timbalan perdana menteri berkata mangsa gempa bumi yang tercedera pula akan menerima bantuan wang ihsan bernilai RM2,000 manakala mangsa yang berada di lokasi gempa tetapi tidak cedera namun trauma dengan kejadian itu akan diberi bantuan RM1,000.

Katanya bantuan wang ihsan berkenaan akan diagihkan dalam tempoh segera kepada bakal penerima berdasarkan daftar yang ada.

Mengenai mangsa yang bukan warganegara Malaysia, Muhyiddin berkata mereka tidak akan diberi wang ihsan, sebaliknya bantuan dalam bentuk lain seperti mereka dibawa turun dari Gunung Kinabalu serta dihantar balik ke negara asal dengan sebahagian daripada mereka telahpun dihantar pulang.

Beliau berkata bantuan sedemikian adalah tanggungjawab kerajaan Malaysia dan kerajaan akan terus melaksanakan tanggungjawab berkenaan. — Bernama

Advertisement