Anda di sini

IJN turun padang program CSI di Kuala Terengganu

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Institut Jantung Negara (IJN) meneruskan inisiatif sosial korporat (CSI) mereka bersama masyarakat luar bandar menerusi penganjuran program pemeriksaan jantung dan kesihatan secara percuma selama dua hari di negeri ini.

Pegawai Perhubungannya, Mohd Riza Sidek berkata menerusi pendekatan turun padang itu, penduduk setempat boleh mendapatkan perkhidmatan secara terus termasuk menggunakan mesin elektrokardiogram (EKG).

Lebih istimewa, katanya, perkhidmatan yang disediakan itu berbeza daripada pemeriksaan kesihatan yang dijalankan pihak lain kerana selain membawa kelengkapan mesin EKG, IJN turut menempatkan pakar terdiri daripada empat orang kaunselor serta masing-masing seorang doktor kanak-kanak dan pakar kardiologi.

“Program ini selaras dengan objektif kita yang secara dasarnya mahu memupuk kesedaran ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan sekali gus membolehkan penduduk setempat berbincang mahupun berunding dengan pakar tentang masalah jantung masing-masing.

“Sekiranya ada dalam kalangan penduduk yang berdepan masalah jantung luar biasa maka doktor kami akan mengeluarkan surat agar pesakit itu dirujuk ke hospital untuk menjalani pemeriksaan susulan,” katanya kepada pemberita dalam program di Balai raya Kampung Paloh Sungai Kiat di sini semalam.

Majlis perasmian program itu disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi.

Program CSI IJN bersama masyarakat itu merupakan acara tahunan institusi berkenaan dan bagi edisi kali ini di Terengganu, Balai Raya Kampung Paloh Sungai Kiat dan Pusat Aktiviti Che Kundur/Lorong Haji Da dipilih sebagai lokasi penganjurannya.

Program itu turut mendapat kerjasama UMNO Bahagian Kuala Terengganu serta penyelaras Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam dan Batu Burok.

Mohd Riza berkata inisiatif itu akan terus digerakkan dan IJN dijangka turun padang ke Mersing, Johor diikuti Perak dan Pahang selepas sambutan hari raya tidak lama lagi.

Sementara itu, Mohd Sabri berkata sambutan dalam kalangan penduduk setempat amat positif apabila seawal pagi sudah ramai yang beratur untuk menjalani pemeriksaan tanpa mengira peringkat usia, justeru, pihaknya berhasrat untuk menjadikan program itu sebagai acara tahunan di daerah ini.

“Saya bersyukur dengan kerjasama IJN kerana bukan mudah untuk pihak mereka turun padang dengan membawa kelengkapan mesin yang pelbagai. Usaha ini secara tidak langsung dapat mendedahkan perkhidmatan IJN kepada rakyat,” katanya. — Bernama

Advertisement