Anda di sini

Bomba mahu digeruni dalam sukan

Advertisement

LUMUT: Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim mahu pasukan tersebut turut digeruni dalam bidang sukan.

Sehubungan itu beliau mahu anggota bomba agar melibatkan diri dalam aktiviti sukan bagi meningkatkan produktiviti mereka dan melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Biar sukan menjadi sinonim dengan bomba. Bila disebut nama bomba, orang sudah rasa gerun untuk bertanding kerana reputasinya yang bukan sahaja pandai bermain tetapi mempunyai tenaga dan stamina yang tinggi sekali gus membawa imej yang baik kepada JBPM,” katanya.

Beliau merasmikan Kejohanan Sukan Bomba Malaysia (SUKBOM) 2015 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini kelmarin.

Turut hadir Toh Muda Orang Kaya-Kaya Laksamana Raja Mahkota Datuk Meor Redwan Mahayudin, Orang Besar Jajahan Kerian dan Pengarah JBPM Perak, Yahaya Madis.

Seramai 1,369 anggota JBPM mewakili 16 kontinjen termasuk kontinjen dari Ibu Pejabat JBPM, kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan dan kontinjen negeri-negeri menyertai kejohanan dua tahun sekali itu.

Pelbagai acara diadakan seperti golf, bola jaring, bola tampar, sepak takraw dan futsal yang sehingga 10 Jun ini. — Bernama

Advertisement