Anda di sini

Langkah perlu ketika dan selepas gempa

Advertisement

Pilih lokasi boleh beri udara untuk bernafas, antara langkah perlu diambil: MetMalaysia

KUALA LUMPUR: Susulan kejadian gempa bumi yang melanda Ranau, Sabah kelmarin, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan kenyataan mengenai langkah-langkah perlu diambil jika berdepan insiden tersebut.

Menurut kenyataan dipetik daripada laman Facebook MetMalaysia, sekiranya ketika kejadian berada di dalam bangunan, antara langkah perlu diambil ialah tinggal kekal di dalam bangunan dan mengambil perlindungan di bawah meja, meja tulis atau bangku yang teguh atau tempatkan diri anda di ambang pintu atau satu sudut.

Bergerak ke arah laluan sebelah dalam (ambang pintu atau bingkai berstruktur atau sebelah dalam bangunan iaitu pusat paling kuat dan kurang kemungkinan untuk runtuh).

Pilih lokasi boleh memberikan udara untuk bernafas dan jauhkan diri daripada tingkap, rak buku, kabinet, cermin berat, pasu bunga tergantung dan lain-lain objek berat.

Jangan gunakan lilin, mancis atau lain-lain punca api disebabkan ada kemungkinan kebocoran gas.

Sekiranya berada di dalam stor yang sesak, jika perlu meninggalkan bangunan, pilih jalan keluar dengan berhati-hati, bertenang serta jauhkan diri daripada rak-rak peragaan mengandungi objek-objek yang mungkin jatuh.

Jangan tergesa-gesa keluar memandangkan tangga mungkin rosak dan sesak dengan penghuni lain, jangan gunakan lif.

Jika berada di luar bangunan, pindah ke kawasan terbuka dengan berhati-hati jauh daripada talian kuasa, tiang elektrik, pokok, bangunan tinggi, dinding dan tiang lampu, jauhi talian elektrik yang jatuh serta tinggal kekal di kawasan terbuka hingga gegaran berhenti.

Sekiranya berada di laluan pejalan kaki dekat bangunan antara langkah perlu diambil ialah berjalan masuk ke arah muka pintu untuk melindungi diri anda daripada batu bata, kaca, kepingan simen dan sampah sarap lain yang jatuh.

Jika berada di dalam kereta yang bergerak, berhentikan kereta secepat mungkin apabila telah pasti selamat di kawasan sesuai.

Jangan berhenti di bawah jambatan, lintasan atas, rentangan kabel atau berdekatan bangunan yang boleh runtuh.

Tinggal di dalam kereta hingga gegaran berhenti kerana kereta adalah penyerap kejutan amat baik dan akan mengayak di atas spring semasa gempa.

Antara tindakan selepas gempa bumi pula, kekal bertenang dan nilaikan situasi semasa selain bersedia untuk gegaran gempa bumi susulan.

Periksa kerosakan utiliti dan perkakas, tutup bekalan elektrik, jangan sentuh wayar elektrik yang terendam atau objek-objek yang bersentuhan dengannya.

Jangan guna telefon kecuali untuk memanggil bantuan untuk melaporkan kecemasan (perubatan, kebakaran atau jenayah), keluar dari bangunan yang telah rosak teruk kerana gegaran susulan boleh merobohkannya. — Bernama

Advertisement