Anda di sini

‘Tuhan Harun’ diperintah bela diri

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ atau Harun Mat Saat semalam diperintah membela diri atas empat pertuduhan mengumpul deposit secara haram berjumlah RM35 juta, sembilan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Norsharidah Awang memerintahkan Harun, 49, bekas penasihat syarikat pelaburan, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk Harun memberikan pembelaanya kerana peguam Md Radzi Mustafa, yang mewakili Harun, tidak hadir pada prosiding semalam kerana kurang sihat.

Mahkamah menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes. Sebanyak 12 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan semasa perbicaraan kes yang bermula November tahun lepas, antaranya bekas majikan Harun dan pegawai-pegawai daripada Bank Negara.

Harun yang diserang angin ahmar, hadir ke mahkamah memakai baju putih dan berkerusi roda, kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Pada 17 April tahun lalu, Harun didakwa atas pertuduhan membantu Business Time Dina Sdn Bhd, Pan Phoenix Dina Sdn Bhd, dan Pan-Phoenix Dina Steel Sdn Bhd, menerima deposit RM35 juta daripada syarikat dan orang awam tanpa lesen sah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Wisma MPL dan Wisma Goldhill, Jalan Raja Chulan, di sini, antara 13 Sept 2006 hingga 8 April 2008.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Harun bersama lima lagi pengikutnya juga menghadapi pertuduhan lain iaitu membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek, pada 10 Nov, 2013.

Kes itu didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Harun juga menghadapi satu pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah dan 10 pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah di Kuantan termasuk menyebarkan ajaran sesat dan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai tuhan. — Bernama

 

Advertisement