Anda di sini

Tiada keperluan DAP adakan mesyuarat bincang muktamar PAS

Advertisement

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata tidak ada keperluan untuk parti itu mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bagi membincangkan keputusan pemilihan PAS yang dikuasai proulama.

“Tiada apa yang hendak diputuskan…buat masa ini tidak ada keperluan, tunggu selepas selesai muktamar, saya akan komen, buatmasa initiad rancnganuntuk adakan mesyuarat CEC.

“Sebabnya ini muktamar mereka, kami ada kami punya sendiri, dan mereka pun,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai keputusan pemilihan PAS kelmarin menyaksikan golongan proulama menguasai kepimpinan parti itu.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan jawatannya sebagai Presiden PAS untuk tempoh dua tahun lagi sehingga 2017, sekali gus menjadikan beliau sebagai presiden parti paling lama memegang jawatan itu.

Pada pemilihan parti sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-61 kelmarin, Abdul Hadi mendapat 928 undi menewaskan pencabarnya iaitu bekas Naib Presiden Ahmad Awang, yang meraih 233 undi.

Kemenangan Abdul Hadi itu disusuli dengan kemenangan seorang lagi proulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menewaskan Mohamad Sabu bagi jawatan nombor dua parti.

Ditanya sama ada situasi itu akan menjejaskan kerjasama Pakatan Rakyat di negeri ini, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata terpulang kepada PAS untuk menentukannya.

“Tiada perubahan di Pulau Pinang buat masa ini. Kami telah nyatakan apa yang kami mahu lakukan di Pulau Pinang. Mereka juga berhak melakukan apa yang mereka mahu.

“Bagaimanapun saya merasakan UMNO bukan lagi sasaran utama mereka. Saya rasa masyarakat boleh buat penilaian sendiri,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa pemimpin PAS Pulau Pinang diketepikan dalam pentadbiran kerajaan negeri, Lim berkata dakwaan itu tidak benar dan berpendapat kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh mereka yang tidak mendapat apa-apa jawatan di negeri ini.

Beliau berkata di Pulau Pinang, PAS mempunyai seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain mempunyai anggota majlis dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang serta Majlis Perbandaran Seberang Perai. — Bernama

Advertisement