Anda di sini

Pertahan jawatan presiden amanah yang mesti ditunaikan, kata Abdul Hadi

Advertisement

KUALA SELANGOR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kejayaan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti semalam merupakan amanah yang perlu ditunaikan dengan sebaik-baiknya.

Beliau juga berharap agar anggota parti itu mengekalkan prinsip dan bersatu dalam perjuangan walaupun mempunyai perbezaan pendapat.

“Mengenai masa depan, kita anggap masa depan PAS baik berdasarkan kepada kehadiran majoriti perwakilan (pada muktamar) dalam kalangan orang muda,” katanya kepada pemberita pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS ke-61 di sini semalam.

Abdul Hadi mengekalkan jawatan presiden dengan memperoleh 928 undi selepas menewaskan pencabarnya, bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang yang mendapat hanya 233 undi.

Ini merupakan kali pertama Abdul Hadi dicabar selepas 13 tahun memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

Ditanya mengenai dakwaan Ahmad yang menyifatkan kemenangan barisan pimpinan baharu PAS itu sebagai ‘kemenangan palsu’, beliau berkata perkara itu perlu dijawab oleh jawatankuasa pemilihan parti.

Abdul Hadi bagaimanapun berpendapat jawatankuasa berkenaan telah mengendalikan pemilihan dengan peraturan yang diluluskan parti serta dipantau dari awal hingga pemilihan berakhir.

Beliau berkata sekiranya wujud salah laku, perkara itu boleh dibawa kepada jawatankuasa disiplin parti.

Kepada persoalan sama ada beliau akan meneruskan hubungan dengan DAP yang sebelum ini agresif menyerangnya, Abdul Hadi berkata soalan itu perlu diajukan kepada rakan sekutu dalam pakatan pembangkang tersebut.

“PAS bukan milik saya seorang, ia milik semua anggota dalam parti…saya tidak boleh buat keputusan sendiri,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam pada itu menafikan bahawa barisan kepimpinan baharu PAS dikuasai golongan ulama dan menegaskan terdapat calon dalam kalangan profesional yang turut menang dalam pemilihan parti.

Beliau turut enggan mengulas khabar angin bahawa terdapat 10 Ahli Parlimen PAS yang ingin melompat parti.

Mengenai dakwaan kemenangan calon golongan ulama dalam pemilihan parti menjejaskan sokongan bukan Islam terhadap PAS khususnya dari segi undi, Abdul Hadi berkata perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan.

“Kita perlu melalui (proses) pilihan raya…masa masih panjang. Saya dapat respons daripada semua kalangan termasuk bukan Islam yang tunjukkan perkarapositif (mengenai sokongan terhadap PAS) tidak perlu diberi markah sekarang kerana masih terlalu awal,” katanya.

Ditanya sama ada beliau yakin bahawa barisan kepimpinan parti yang baharu boleh merapatkan hubungan dengan rakan sekutu dalam pakatan pembangkang khususnya DAP, Abdul Hadi berkata PAS sejak dahulu mengamalkan pendekatan bekerjasama secara terbuka dengan pihak lain membabitkan perkara yang memberi kesan positif kepada rakyat.

“Ada pendekatan boleh tolong-menolong dalam perkara baik dan tidak boleh tolong-menolong dalam perkara negatif.(Misalnya) PAS pernah sertai Majlis Perundingan Ekonomi Negara yang ditubuhkan oleh kerajaan dan parti tidak larang anggota PAS bekerja dalam jabatan dan kementerian daripada pangkat rendah hingga tinggi.

“Tahaluf (siyasi) bukan semestinya satu-satu parti kekal selamanya. Kadang-kadang boleh batalkan…memang boleh dibatalkan tahaluf dengan parti ini dan adakan tahaluf dengan parti lain tetapi senario lama tidak berulang…biasanya akan berlaku senario baharu dengan perkembangan baharu,” katanya. — Bernama

 

Advertisement