Anda di sini

Pengarah syarikat perladangan didakwa pecah amanah, pengubahan wang haram

Advertisement

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat perladangan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga dakwaan pengubahan wang haram melibatkan transaksi lebih RM3 juta berhubung dana penjualan tanah di Cameron Highlands.

Pengarah Syarikat Blue Valley Plantation Sdn Bhd, R.Summugam, 61, mengaku tidak bersalah ketika kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dengan menunaikan sekeping cek bank RHB berjumlah RM200,000 di RHB Bank cawangan Persiaran Sultan Ibrahim, Klang pada 30 Mei 2008.

Dia juga didakwa melakukan pecah amanah melibatkan sekeping cek bank RHB bernilai RM2.8 juta di Maybank cawangan Shah Alam pada 2 Jun 2008.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan menunaikan sekeping cek Alliance Islamic Bank Berhad berjumlah RM249,236 milik firma guaman Seah, Balan, Ravi and Co tanpa pengetahuan dan kelulusan Anggota Lembaga Pengarah Blue Valley Plantation Sdn Bhd.

Aktiviti itu dilakukan di Alliance Islamic Bank, cawangan Klang, Selangor pada 28 April 2011.

Summugam turut berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia dituduh terlibat dalam amalan pengubahan wang haram dengan mengeluarkan wang sebanyak RM200,000 secara tunai milik Tan Choon Kiat dan Lee Seng Teck, yang mana jumlah tersebut merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan dilakukan di RHB Bank cawangan Persiaran Sultan Ibrahim, Klang pada 30 Mei 2008.

Beliau juga didakwa melakukan kesalahan sama dengan mendepositkan sekeping cek bank RHB bernilai RM2.8 juta milik Tan Choon Kiat dan Lee Seng Teck ke dalam akaunnya di Maybank cawangan Shah Alam pada 2 Jun 2008.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan mengeluarkan wang sebanyak RM249,236 secara tunai melalui cek Alliance Islamic Bank Berhad, milik firma guaman Seah, Balan, Ravi and Co, yang mana jumlah tersebut merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan dilakukan di Alliance Islamic Bank, cawangan Klang, Selangor pada 28 April 2011.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail menawarkan RM200,000 bagi keenam-enam pertuduhan.

Bagaimanapun, Hakim Zamri menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin, dan 10 Julai untuk sebutan semula kes.

Beliau juga turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Summugam merupakan pengarah kedua dari Syarikat Blue Valley Plantation yang dituduh untuk kes ini selepas seorang lagi pengarah syarikat itu Pannirselvam Subramaniam, 61, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada 22 Mei lepas.

SPRM telah menyiasat kes ini berikutan aduan sekumpulan 24 individu yang mengesyaki wujud elemen penyelewengan dana hasil penjualan tanah milik mereka di Blue Valley Plantation, Cameron Highlands pada tahun 2012. — Bernama

 

Advertisement