Anda di sini

Orang ramai dinasihat berwaspada

Advertisement
 Beberapa tiang sebuah rumah di Ranau patah dan retak akibat gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 pada skala Richter di Sabah pada 7.15 pagi semalam. — Gambar Bernama

RETAK: Beberapa tiang sebuah rumah di Ranau patah dan retak akibat gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 pada skala Richter di Sabah pada 7.15 pagi semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada berikutan kejadian gempa bumi yang berlaku di Ranau pagi semalam.

“Walaupun saya berada jauh di Shanghai (China), saya memantau situasi ini. Saya tahu ramai yang bimbang kerana Sabah jarang sekali mengalami kejadian seperti ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, pada jam 7.15 pagi semalam dan gegaran itu turut dirasai di kebanyakan tempat di pantai barat Sabah termasuk Ranau, Tambunan, Tuaran, Pedalaman, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Menurut Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional, pusat gempa itu terletak 16km barat laut Ranau.

Musa berkata pihak berkuasa juga turut memantau keadaan tanah terutama di Ranau, yang merupakan pusat gempa itu.

Musa berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri Sabah telah diaktifkan untuk memantau serta membantu mereka yang memerlukan termasuk mereka yang terkandas di Gunung Kinabalu.

“Saya juga meminta orang ramai agar berhenti menyebarkan khabar angin bahawa akan berlaku lebih banyak gempa bumi. Kami tidak menerima apa-apa laporan rasmi berhubung perkara ini. Kita hanya perlu berhati-hati,” katanya.

Musa juga melahirkan kekecewaan berhubung penyebaran berita seumpama itu yang dianggap tidak ‘bertanggungjawab’ kerana boleh menimbulkan panik dalam kalangan rakyat. — Bernama

 

Advertisement