KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersetuju dengan saranan ketua polis negara supaya dialog Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Bersama NGO semalam dibatalkan kerana dikhuatiri keadaan tidak terkawal.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali berkata sekiranya berlaku pergaduhan antara penyokong pihak yang berlainan, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan.
“Saya tengok dalam Whatsapps, dalam Facebook dan sebagainya, saya melihat keadaan berlainan, wujud suasana yang agak tegang dan beremosi.
“Kalau berterusan kita tidak dapat jangka apa akan jadi. Contohnya kalau Tun (Dr Mahathir Mohamad) cakap nanti ada pihak lagi satu ‘boo’, kalau perdana menteri bercakap pun ada pihak ‘boo’, jadi siapa yang rugi?” katanya ketika ditemui pemberita selepas penundaan majlis itu diumumkan penganjur, di sini kelmarin.
Majlis dialog itu sepatutnya bermula jam 10 pagi di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, tetapi ditunda setengah jam kemudian atas arahan pihak polis disebabkan faktor keselamatan awam dan kemudian dibatalkan berikutan keadaan tidak terkawal.
Ibrahim berkata semua pihak harus menerima keputusan itu dan tidak membuat sebarang spekulasi.
“Janganlah ada pihak buat tafsiran melulu kononnya pihak itu menang, pihak ini kalah. Penundaan ini sebab polis telah membuat keputusan berdasarkan keselamatan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa yang turut hadir pada majlis itu berkata penganjur program sepatutnya memastikan keadaan terkawal supaya sesi dialog masih boleh diteruskan secara harmoni.
“Kerajaan sentiasa bersedia nak jawab tapi pihak penganjur perlu menganjurkannya dengan baik.
“PM bersedia untuk datang tapi kalau keadaan tak kondusif macam mana? Kita datang nak bincang bukan nak perang,” katanya.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil Dan Sederhana Mohd Ridzuan Abdullah pula mencadangkan supaya perdana menteri kerap mengadakan perjumpaan dengan NGO bagi menerangkan situasi semasa.
“Kami sayang PM tapi kami juga perlu diberikan maklumat yang cukup supaya kami faham dan dapat sampaikan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut kesal kerana program itu yang sepatutnya menjadi platform perbincangan terpaksa dibatalkan atas tujuan memelihara ketenteraman awam.
Sementara itu, pihak penganjur majlis dialog NGO SukaGuam berasa kesal dengan tindakan provokasi segelintir peserta sehingga menyebabkan majlis itu terpaksa ditunda.
“Saya kesal program ini telah dimanipulasi dan dijadikan medan yang tidak sepatutnya,” kata Pengerusinya Datuk Khairul Anwar Rahmat, sambil menyatakan satu tarikh baharu akan ditetapkan bagi meneruskan sesi dialog itu. — Bernama