Anda di sini

Muktamar: Perwakilan persoal usul putus hubungan dengan DAP tidak dibahaskan

Advertisement

KUALA SELANGOR: Muktamar PAS ke-61 yang memasuki hari terakhir semalam agak tegang apabila dua perwakilan lantang mempersoalkan keputusan untuk tidak membahaskan usul Dewan Ulama yang mahu memutuskan hubungan dengan DAP.

Perwakilan dari Rembau, Negeri Sembilan, Mohd Faiz Fadzil bangun selepas Pengerusi Jawatankuasa Usul Datuk Mahfuz Omar memaklumkan bahawa usul itu tidak akan dibahaskan hari ini (semalam) kerana ia (usul) sensitif dan perlu diputuskan oleh pimpinan PAS.

Mahfuz yang juga Ketua Penerangan PAS berkata usul berkenaan perlu dibincangkan di peringkat pimpinan kerana dibimbangi ia akan menjejaskan kedudukan parti itu di Pulau Pinang dan Selangor.

Mohd Faiz meminta Mahfuz memperjelaskan alasannya bahawa usul tersebut sensitif dan tidak perlu dibahas sedangkan ia melibatkan hala tuju dasar PAS.

“Muktamar ialah hak perwakilan yang merupakan pemimpin di peringkat kawasan.

Apa-apa keputusan di muktamar perlu dibawa dalam pakatan (pembangkang) dan biarlah perwakilan bahas sama ada nak keluar atau tidak.

“Jangan kita nak cerai tapi tinggal serumah…takkan kita tak nak kawan dengan DAP tetapi nak kekal dalam pakatan? Ini satu pakatan yang tempang,” katanya.

Mohd Faiz yang merupakan anak bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor berkata jika PAS berani dan tegas ingin memutuskan hubungan dengan DAP seharusnya muktamar membenarkan perwakilan membahaskan usul berkenaan.

Menjelaskan perkara itu, Mahfuz berkata usul berkenaan sensitif kerana keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP akan memberi kesan kepada kedudukan PAS di Pulau Pinang dan Selangor.

“Yang saya katakan sensitif ialah ia akan memberi kesan politik di Pulau Pinang dan Selangor. Seperti di Pulau Pinang tanpa kita pun mereka (DAP) boleh tubuh kerajaan tanpa PKR pun mereka (DAP) boleh tubuh (kerajaan) dengan simple majority (majoriti mudah).

“Pesuruhjaya PAS Selangor (Datuk Iskandar Abdul Samad) pun tanya saya mengenai bagaimana kedudukan PAS di Selangor kelak. Saya jawab saya hanya jalankan tugas, kesannya kita akan kehilangan kedudukan tetapi kita kena istiqamah dengan keputusan dan istiqamah dengan perjuangan. Yakin dengan Allah SWT walaupun kita bersendirian…ke tuan-tuan tidak yakin dengan Allah?,” soal Mahfuz.

Perwakilan dari Kota Raja, Selangor, Norhalim Sirome turut bangun dan mencadangkan agar usul itu dibincangkan dalam muktamar khas agar ia boleh dibahaskan.

“Perkara ini tidak boleh dibincang dalam hanya dua minit dan buat keputusan dua, tiga orang.

“Sesiapa duduk di Selangor tahu betapa pentingnya tahaluf siyasi (kerjasama politik) ni. Pemimpin jangan ambil mudah…wahai ulamakku ingat memang Allah akan reda tetapi Allah hanya akan reda dengan akal yang terbit daripada pemikiran yang waras,” katanya lantang.

Pengerusi Tetap Husin Ismail kemudian berkata perkara itu akan diputuskan oleh pimpinan PAS pusat dan meminta perwakilan bertenang.

Kelmarin, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa usul Dewan Ulama yang mahu memutuskan hubungan dengan DAP itu akan dikaji di peringkat Majlis Syura dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. — Bernama

Advertisement