Anda di sini

Muhyiddin arah MKN perkenal sistem amaran awal gempa bumi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya memperkenalkan sistem amaran awal mengenai gempa bumi termasuk untuk makluman sekolah.

Arahan itu dikeluarkan beliau susulan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda Ranau kelmarin yang setakat ini mengorbankan 11 nyawa.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, dalam kenyataan semalam menarik perhatian bahawa 23 sekolah di enam daerah di Sabah terjejas akibat gempa bumi yang berlaku pada jam 7.05 pagi itu.

Sekolah-sekolah berkenaan terletak di daerah Ranau, Tuaran, Kota Belud, Penampang, Nabawan dan Keningau.

“Saya turut mengarahkan pasukan penyelamat supaya meneruskan tindakan menyelamat semua mangsa termasuk yang terperangkap di Gunung Kinabalu,” katanya.

Pasukan mencari dan menyelamat yang beroperasi di Gunung Kinabalu menjumpai sembilan mayat semalam susulan gempa bumi itu. Dua mayat dibawa turun dari gunung tertinggi di Asia Tengara itu malam kelmarin.

Muhyiddin seterusnya menasihatkan penduduk di kawasan-kawasan yang terjejas supaya tidak panik dan sentiasa mengikut nasihat pihak berkuasa.

Beliau turut mendoakan supaya semua mangsa tabah menghadapi musibah gempa bumi itu dan segala bentuk bantuan dapat disalurkan dengan kadar segera kepada mereka.

“Kepada keluarga mangsa yang terkorban, saya mengucapkan takziah dan berdoa agar mereka bersabar dalam menghadapi dugaan ini,” kata Muhyiddin.

Usaha masih dilakukan untuk mengesan lapan lagi yang masih hilang di kawasan gunung itu. — Bernama

Advertisement