Anda di sini

MKN gerak pasukan SMART ke Sabah

Advertisement

PETALING JAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggerakkan 25 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu operasi gempa bumi di Sabah.

Timbalan Setiausaha MKN Ogu Salim Omar berkata pasukan itu, yang diketuai Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah tengah hari semalam.

“Anggota terbabit termasuk paramedik, kejuruteraan dan penyelamat. Setakat ini tiada mangsa yang terbunuh atau tercedera dilaporkan, dan kami masih lagi menunggu perkembangan terkini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau sebelum ini menyampaikan bantuan bencana gempa bumi dari rakyat Malaysia untuk mangsa gempa bumi di Nepal kepada Setiausaha Kedua Kedutaan Nepal di Malaysia Uttam Kumar Shahi, di Markas SMART, Pulau Meranti, Puchong dekat sini semalam.

Beliau berkata bantuan dari segi perubatan akan dihantar ke Sabah bergantung kepada keperluan.

Menyentuh mengenai gempa bumi itu, Ogu Salim berkata MKN menerima maklumat mengenainya 15 minit selepas kejadian tersebut pada jam 7.30 pagi.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah dengan pusat gempa terletak 16km di barat laut Ranau.

Gegaran dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pihaknya mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di setiap daerah di Sabah yang mengalami gegaran untuk memantau bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal.

“Usaha itu diketuai Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah di Sabah, yang dilaporkan telah berada di tempat kejadian dan laporan akan diberikan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya keadaan muka bumi di Sabah menyukarkan sedikit operasi menyelamat, khususnya di kawasan pergunungan seperti di Gunung Kinabalu.

“Namun segala usaha akan tetap dijalankan bagi memastikan keadaan bertambah baik dan individu yang terlibat dapat diselamatkan,” katanya.

Abdul Rahman berkata pihaknya juga mengarahkan JBPM memasukkan taklimat mengenai persiapan menghadapi keadaan gempa bumi dalam program pendidikan awam JBPM di seluruh negara bagi memastikan sesiapa yang terlibat akan lebih bersedia dan bertindak dengan lebih pantas. — Bernama

 

Advertisement