Anda di sini

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan 2015 dibatalkan: Musa

Advertisement

KUNDASANG: Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan 2015 di Ranau hari ini dibatalkan sebagai menghormati mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi kelmarin, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Beliau turut mengumumkan Isnin ini sebagai hari berkabung untuk memperingati 13 mangsa yang setakat ini disahkan terkorban susulan gempa bumi dengan kekuatan 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada jam 7.15 pagi.

Musa melahirkan perasaan sedih dan dukacita atas kejadian itu dengan mereka yang kehilangan nyawa terdiri daripada orang tempatan dan pelancong luar negara.

“Setelah berbincang dengan pihak berkenaan dan sebagai tanda simpati kepada semua yang terlibat dengan bencana ini, maka Majlis Rumah Terbuka Malaysia TadauKaamatan 2015 dibatalkan,” katanya kepada pemberita di pusat operasi yang dibuka di Taman Kinabalu, pintu masuk ke gunung itu, di sini semalam.

Musa berkata beliau telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijemput merasmikan majlis itu berhubung keputusan pembatalan berkenaan.

Pasukan mencari dan menyelamat menjumpai 11 mayat di kawasan Gunung Kinabalu semalam, menjadikan 13 jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban setakat ini.

Ia susulan dua mayat dibawa keluar dari kawasan pergunungan itu malam kelmarin.

Usaha sedang dilakukan untuk menjejaki enam lagi individu yang masih hilang di kawasan pergunungan itu.

Mengenai hari berkabung Isnin ini, Musa berkata: “Marilah kita menurunkan bendera Sabah separuh tiang sebagai tanda simpati kita dan sebagai menghormati semua mangsa yang terkorban.”

“Bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Sabah, saya menzahirkan rasa sedih dan simpati dan menghulur ucapan takziah kepada anggota keluarga mangsa yang terkorban.

“Kami harap mereka terus tabah dan sabar dalam menghadapi situasi ini,” katanya. — Bernama

Advertisement