Anda di sini

KPDNKK Johor terima 1,464 aduan sehingga 3 Jun

Advertisement

KOTA TINGGI: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor menerima 1,464 aduan bagi pelbagai perkara berkaitan pengguna melalui pusat gerakan antipencatutan mulai 1 Jan sehingga 3 Jun lalu.

Pengarah KPDNKK negeri Nor Nekman Jaimon berkata dari jumlah itu, sebanyak 40 aduan telah diselesaikan, 147 masih disiasat, 286 melibatkan agensi lain dan 882 aduan ditutup termasuk tiga aduan tidak berasas.

“Sementara itu 17 aduan belum disiasat, 15 dihantar ke dihantar ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, satu lagi diklasifikasikan sebagai pertanyaan, 36 aduan tidak mempunyai maklumat lengkap dan 40 aduan lain dalam pelbagai kategori,” kata beliau kepada Bernama selepas majlis penerangan GST di Dewan Terbuka FELDA Papan Timur, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, pihaknya cuba menyelesaikan aduan yang dilihat berasas dalam tempoh 24 jam dan sekiranya didapati tidak benar, KPDNKK menganggap ia selesai, kata beliau.

Seramai 200 orang melibatkan kakitangan kerajaan dari 42 Felda Wilayah Johor Baharu dalam kawasan Parlimen Pengerang, Mersing, Kota Tinggi, Tebrau, Kulaijaya dan Tenggara hadir pada program itu.

Program anjuran Angkatan Usahawan Anak Felda (Ausaf) itu dirasmikan oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Pengerang Abdul Wahab Abdul Manan.

Sementara itu, Nor Nekman berkata program kerjasama FELDA dan Seranta yang diadakan julung kali itu bertujuan memberi penjelasan yang lebih terperinci berkaitan dengan isu pelaksanaan GST.

Beliau berkata secara umumnya, pelaksanaan GST ada mengakibatkan sesetengah barangan mengalami kenaikan harga dan ada yang tidak berubah harga, manakala ada juga barangan yang turun harganya.

“Jadi kita kena mengakui hakikat sedemikian dan sebagai seorang pengguna, kita kena bijak mengurus selain proaktif terhadap perkara yang berlaku di pasaran terutama jika berlaku kenaikan harga.

“Kenaikan harga (secara berleluasa) merupakan tanda aras kepada salah laku peniaga yang menaikkan untung secara berlebihan,” kata Nor Nekman.

Justeru itu, sekiranya ada aduan dan keluhan berkaitan kenaikan harga,   masyarakat perlu membuat aduan rasmi kepada KPDNKK atau Jabatan Kastam DiRaja Malaysia untuk tindakan selanjutnya, tambah beliau. — Bernama

Advertisement